SELAMAT DATANG SAUDARA-SAUDARAKU

AHLAN WASAHLAN

Jumaat, 17 Oktober 2008

SUNNAH2 RASULULLAH S.A.W (RASUL JUNJUNGAN YANG MULIA)

SUNNAH RASULULLAH S.A.W (RASUL JUNJUNGAN YANG MULIA)

BERSUCI
Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w menggunakan tangan kanan semasa bersuci, menyikat rambut dan memakai kasut
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 395

LARANGAN MENGGUNAKAN BEKAS MAKAN DAN MINUMAN DARI PERAK DAN EMAS
Hadis Al-Bara' bin Azib r.a katanya:
Rasulullah s.a.w memerintahkan kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, menunaikan sumpah dengan benar, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam. Baginda melarang kami memakai cincin atau bercincin emas, minum dengan bekas minuman dari perak, hamparan sutera, pakaian buatan Qasiyyi iaitu pakaian berjalur yang diperbuat dari sutera, serta mengenakan pakaian sutera, sutera tebal dan sutera halus
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3848

Hadis Huzaifah r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu sekalian minum dalam bekas minuman emas dan perak. Jangan memakai pakaian dari sutera kerana pakaian sutera itu untuk mereka iaitu orang-orang kafir di dunia dan untuk kamu sekalian di akhirat pada Hari Kiamat kelak
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3849

MEMAKAI SELIPAR
Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang di antara kamu memakai selipar, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kanan dan apabila ingin mencabutnya, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kiri. Seboleh-bolehnya pakailah kedua-dua selipar itu sekaligus atau mencabut kedua-duanya sekaligus
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3913

PAKAIAN
Hadis Anas bin Malik r.a:
Nabi s.a.w melarang memakai pakaian berwarna kunyit
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3922
Hadis Al-Bara' r.a katanya:
Rasulullah s.a.w adalah seorang lelaki yang berbadan segak, berbahu lebar dan berambut panjang sehingga terjuntai ke cuping telinga. Baginda memakai pakaian yang berwarna merah. Aku tidak pernah melihat sesuatu yang indah, seindah Nabi Muhammad S.A.W
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4308

FITRAH SEMULAJADI MANUSIA
Hadis Abu Hurairah r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi Muhammad S.A.W, baginda bersabda: Fitrah ada lima atau mungkin juga diriwayatkan Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai sifat semula jadi seseorang manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 377

MENYAMBUT HARI PERAYAAN
Hadis Aisyah r.a katanya:
Aku telah diziarahi oleh Abu Bakar r.a di rumahku. Ketika itu di sampingku ada dua orang jariah iaitu gadis dari golongan Ansar, sedang mendendangkan syair golongan Ansar pada Hari Bu'as iaitu hari tercetusnya peperangan antara golongan Aus dan Khazraj. Aisyah berkata: Sebenarnya mereka berdua bukanlah penyanyi. Abu Bakar r.a berkata: Patutkah ada nyanyian syaitan di rumah Rasulullah s.a.w dan pada Hari Raya pula? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum itu mempunyai Hari Raya dan ini adalah Hari Raya kami
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1479

LARANGAN MEMAKAI CINCIN EMAS BAGI LELAKI
Hadis Abu Hurairah r.a:
Daripada Nabi s.a.w bahawa baginda melarang memakai cincin emas
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3896
CINCIN PERAK
Hadis Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai cincin perak. Pada cincin itu terpahat nama Muhammad Rasulullah Baginda bersabda kepada kaum Muslimin: Aku membuat cincin dari perak dan padanya aku ukirkan Muhammad Rasulullah Maka tidak ada seorang pun dapat mengukir pada ukirannya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3901

LARANGAN MENGGANTUNG GAMBAR-GAMBAR
Hadis Ibnu Abbas r.a:
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing atau gambar-gambar
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3929

Hadis Aisyah r.a katanya:
Kami mempunyai kain langsir yang bergambar burung. Orang yang hendak masuk, tentu akan melihat kain langsir yang bergambar tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Gantilah kain langsir ini, kerana setiap kali aku masuk dan melihatnya aku menjadi ingat kepada dunia. Aisyah berkata: Kami mempunyai benang yang boleh kami katakan sutera, maka kami memakainya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3934

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia yang paling berat seksanya pada Hari Kiamat, ialah para juru gambar
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3943

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap tukang gambar akan di masukkan ke dalam Neraka. Allah akan menjadikan baginya dengan setiap gambar yang dibuatnya nafas yang menyeksanya di Neraka Jahanam
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3945

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Siapa lagi orang yang lebih zalim daripada orang yang cuba membuat ciptaan sama seperti makhluk-Ku? Maka lebih baik mereka cuba menciptakan zarah, menciptakan biji-bijian, atau mencipta biji gandum
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3947

MENYAMBUNG RAMBUT
Hadis Asma' binti Abu Bakar r.a katanya:
Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku mempunyai seorang anak perempuan yang bakal menjadi pengantin. Beliau pernah diserang penyakit campak, sehingga rambutnya gugur. Bolehkah aku menyambungnya dengan rambut orang lain? Rasulullah s.a.w bersabda: Allah mengutuk orang yang menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3961

Hadis Aisyah r.a:
Seorang gadis dari kaum Ansar berkahwin. Oleh kerana sebelumnya beliau pernah menderita sakit, maka semua rambutnya gugur. Keluarganya ingin menyambung rambutnya, lalu mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang hal itu. Maka Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3963


LARANGAN KEPADA PONDAN
Hadis Ummu Salamah r.a:
Sesungguhnya seorang lelaki pondan yang berperilaku seperti wanita berada di rumah beliau, ketika itu Rasulullah s.a.w juga berada di rumah tersebut. Lelaki itu berkata kepada saudara Ummu Salamah: Wahai Abdullah bin Abu Umaiyah! Jika Allah menolong kamu menakluki Taif besok, maka akan aku tunjukkan kepadamu anak perempuan Ghailan, nescaya beliau menghadap dengan empat lipatan perut dan kembali dengan lapan lipatan perut kerana sangat gemuk. Jadi, ketika Rasulullah s.a.w mendengar pembicaraan itu, baginda bersabda: Janganlah mereka itu masuk ke tempat kamu!
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4048

BAB SIFAT RAMBUT NABI MUHAMMAD S.A.W
Hadis Anas bin Malik r.a:
Diriwayatkan daripada Qatadah r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Anas bin Malik, bagaimanakah keadaan rambut Rasulullah s.a.w. Anas bin Malik menjawab: Rambutnya ikal, tidak keriting dan tidak lurus, kemudian terurai sehingga sampai ke bahu baginda
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4311

BAB GALAKAN MENDEKATI ORANG ORANG YANG SOLEH DAN MENJAUHI DARI KAWAN KAWAN YANG JAHAT
Hadis Abu Musa r.a:
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seseorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin beliau akan memberikannya kepadamu atau mungkin kamu akan membeli darinya dan mungkin kamu akan mendapat bau yang harum darinya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu dan mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4762

AMALAN PESANAN RASULULLAH S.A.W
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada ku dengan tiga perkara, berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan sembahyang Dhuha dua rakaat dan mendirikan sembahyang sunat witir sebelum tidur
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1182

LARANGAN MENGGANTUNG GAMBAR DIDALAM RUMAH
Hadis Ibnu Abbas r.a:
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing atau gambar-gambar
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3929

Hadis Aisyah r.a katanya:
Kami mempunyai kain langsir yang bergambar burung. Orang yang hendak masuk, tentu akan melihat kain langsir yang bergambar tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Gantilah kain langsir ini, kerana setiap kali aku masuk dan melihatnya aku menjadi ingat kepada dunia. Aisyah berkata: Kami mempunyai benang yang boleh kami katakan sutera, maka kami memakainya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3934

Hadis Ibnu Umar r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang-orang yang membuat atau melukis gambar-gambar akan diseksa pada Hari Kiamat. Maka akan difirmankan kepada mereka: Hidupkan apa yang telah kamu ciptakan

LARANGAN MENCUKUR SEBAHAGIAN RAMBUT DIKEPALA DAN LARANGAN MERUBAH CIPTAAN ALLAH
Hadis Ibnu Umar r.a:
Rasulullah s.a.w melarang mencukur sebahagian rambut di kepala
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3959

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Allah mengutuk pembuat tatu iaitu tanda pada badan yang dibuat dengan melarik, mencucuk dan memasukkan warna, orang-orang yang meminta supaya dibuatkan tatu, orang-orang yang menghilangkan rambut pada muka serta orang-orang yang meminta supaya dihilangkan rambut pada wajahnya, serta orang-orang yang merenggangkan gigi demi kecantikan untuk mengubah ciptaan Allah. Perkataan Ibnu Umar itu sampai kepada seorang wanita dari Bani Asad yang bergelar Ummu Yaakub. Beliau sedang membaca Al-Quran. Lalu dia datang kepada Ibnu Umar dan berkata: Apakah benar berita yang sampai kepadaku bahawa engkau mengutuk pembuat tatu, orang-orang yang meminta supaya dibuatkan tatu, orang-orang yang meminta supaya dihilangkan rambut pada muka dan orang-orang yang merenggangkan gigi demi kecantikan untuk mengubah ciptaan Allah? Abdullah bin Umar berkata: Bagaimana aku tidak mengutuk orang-orang yang juga dikutuk oleh Rasulullah s.a.w? Sedangkan perkara itu ada disebutkan dalam Kitab Allah. Wanita itu membantah: Aku sudah membaca semua yang ada dari kulit ke kulit, tetapi aku tidak mendapatinya. Ibnu Umar berkata: Jika engkau benar-benar membacanya, pasti engkau akan menemuinya. Allah s.w.t berfirman: Yang bermaksud:”Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kamu, maka terimalah ia dan apa yang dia larang kepada kamu, maka tinggalkanlah ia.”
Wanita itu berkata: Aku melihat sesuatu di antara yang engkau bicarakan ini pada isterimu sekarang. Ibnu Umar berkata: Pergilah melihatnya. Wanita itu pun masuk mendapatkan isteri Abdullah bin Umar. Namun beliau tidak melihat sesuatu pun. Maka beliau datang lagi kepada Ibnu Umar dan berkata: Aku tidak melihat sesuatu pun. Ibnu Umar berkata: Ingatlah, seandainya apa yang aku katakan ada pada isteriku nescaya aku tidak akan menggaulinya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3966

Nabi S.A.W suatu hari (hari Ghadir Khum) telah memanggil Saidina Ali krw dan memakaikannya serban yg mempunyai ekor diantara dua belikat, kemudian baginda bersabda:“Macam inilah kamu memakai serban, kerana serban itusebagai lambang (tanda/syiar) Islam dan serban juga yg membezakan diantara org Islam dgn org musyrik,”
[riwayat Imam Abu Naim]

Sebagai tambahan, menetapkan sesuatu amalan atau ibadat secara khusus pada malam Jumaat sahaja, adalah juga merupakan suatu larangan yang terang daripada nabi s.a.w. sebagai mana di dalam hadis baginda :

"Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan Qiyam daripada malam-malam yang lain"
-Riwayat Imam Muslim.
"Jangan kamu semua mengagungkan aku, sebagaimana orang-orang Nasrani (Kristian) mengagung-agungkan anak Maryam (Isa a.s.). Sesungguhnya aku hamba Allah, maka katakanlah aku hamba Allah dan rasul-Nya"
-Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Kita dilarang pula menyerupai orang-orang kafir :

"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka (tergolong dengan mereka)"
-Riwayat Imam Bukhari
Benar sekali kata nabi s.a.w. di dalam hadis baginda :

"Demi Yang Memegang jiwa Muhammad di tangan-Nya, akan berpuak-puak umatku sebanyak 73 puak, satu puak akan masuk syurga dan 72 puak lainnya akan masuk neraka. Para sahabat bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah? Nabi menjawab : Al-Jamaah."
"Maka sampaikanlah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang mendengar semua pendapat, kemudian mengikuti yang terbaik (dari kalangan pendapat tersebut). Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang berakal."
-Surah Az-Zumar ayat 17 dan 18.

"Sesungguhnya aku adalah seorang manusia. Sekiranya sesuatu perkara itu berkenaan agamamu, maka kepadaku (kamu merujuk). Dan sekiranya ia adalah perkara keduniaanmu maka aku adalah seorang manusia, kamu lebih mengetahui tentang duniamu."
-Riwayat Imam Muslim.
"Sesungguhnya Allah menyekat (atau menahan) taubat pembuat setiap amalan bid’ah"
-Riwayat Imam at-Thabrani, al-Baihaqi, al-Harawi dan lain-lain

Begitu juga dengan hadis dari Aisyah r.a. :
"Sesiapa yang mendatangi orang yang membuat bid’ah dengan tujuan untuk menghormatinya maka sesungguhnya ia telah membantu untuk menghancurkan Islam"
-Riwayat Ibnu Waddhah dan lain-lain .
WALLAHU A”LAM

Tiada ulasan:

Hadis Nabi S.A.W

YA ALLAH RAHMATI KAMI DENGAN AL-QURAN