SELAMAT DATANG SAUDARA-SAUDARAKU

AHLAN WASAHLAN

Jumaat, 17 Oktober 2008

RASULULLAH S.A.W

IBU BAPA RASULULLAH SAW

Nasab sebelah bapa : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusaiy bin Kilaab bin Murrah bin Ka'ab bin Luaiy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'd bin Adnan.

Nasab yang sepakat di antara ahli tarikh hanyalah sehingga Adnan ini saja, ke atasnya menjadi perselisihan. Tetapi sepakat pula ahli tarikh mengesahkan bahawa Adnan itu keturunan Nabi Ibrahim al-Khalil. Yang jadi perselisihan ialah berapa orangkah nenek-nenek Baginda di antara Ismail dengan Adnan itu. Kata setengahnya banyaknya 40 orang, setengahnya pula mengatakan hanya 7 orang.

Berkata Abu Abdullah al-Hafiz : "Tentang berapakah bilangan nenek-nenek moyang Rasulullah SAW sejak dari Adnan menjelang Ismail dan Ibrahim itu tidaklah ada suatu riwayat yang muktamad."

Nasab sebelah ibu : Muhammad bin Aminah binti Abdul Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Hakim (Kilaab). Di sanalah pertemuan nasab ayahnya dengan nasab ibunya. 1

KELAHIRAN RASULULLAH SAW

Muhammad Rasulullah SAW dilahirkan di rumah Abu Thalib di dalam perkampungan Bani Hasyim di Makkah pada pagi-pagi hari Isnin dalam bulan Rabi'ul Awwal, tahun yang pertama dari tahun gajah yang masyhur, iaitu 40 tahun setelah Kisra Anusyirwan duduk di atas singgahsana Kerajaan Parsi, bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi, menurut perhitungan Mahmud Pasha, ahli falak Mesir yang masyhur itu. 1

Ibnu Saad meriwayatkan, bahawa ibu Rasulullah SAW berkata, "Setelah bayiku keluar, aku melihat cahaya yang keluar dari kemaluanku, menyinari istana-istana di Syam." Ahmad juga meriwayatkan dari al-Arbadh bin Sariyah, yang isinya serupa dengan perkataan tersebut.

Diriwayatkan bahawa ada beberapa bukti pendukung kerasulan yang berlaku bertepatan dengan saat kelahiran Rasulullah SAW, iaitu runtuhnya sepuluh balkon istana Kisra, dan padamnya api yang biasa disembah orang-orang Majusi serta runtuhnya beberapa gereja di sekitar Buhairah. Yang demikian ini diriwayatkan al-Baihaqi, sekalipun tidak diakui Muhammad al-Ghazali.

Setelah Rasulullah SAW dilahirkan, ibunya menyuruh orang suruhan ke rumah datuknya, Abdul Muthalib menyampaikan khabar sukacita itu. Maka Abdul Muthalib datang dengan perasaan suka cita, lalu membawa Baginda ke dalam Ka'bah, lalu berdoa kepada Allah dan bersyukur kepadaNya. Dia memilih nama Muhammad bagi Baginda. Nama ini belum pernah dipakai sebelum itu di kalangan Arab. Baginda dikhitan pada hari ketujuh, seperti yang biasa dilakukan orang-orang Arab.

Abdul Muthalib termasyhur sebagai kepala kaum yang disegani dalam Bani Hasyim, demikian juga dalam kaum Quraisy seluruhnya, lantaran pengaruhnya yang besar di dalam urusan peperangan, kekuasaan, hal-ehwal agama dan peraturan masyarakat pada masa itu.

Wanita pertama yang menyusui Baginda setelah ibunya adalah Tsuwaibah, hamba sahaya Abu Lahab, yang kebetulan sedang menyusui anaknya yang bernama Masruh, yang sebelum itu wanita ini juga menyusui Hamzah bin Abdul Muthalib. Setelah itu dia menyusui Abu Salamah bin Abdul-Asad

HALIMATUS SA'DIYYAH - IBU SUSU RASULULLAH SAW

Menurut adat Arab, anak itu tidak disusukan oleh ibunya sendiri jika dia orang terpandang, tetapi dicarikan seorang tukang menyusu dari kampung Badwi. Kerana kehidupan anak-anak itu di dusun boleh menguatkan tubuhnya dan memperbaiki lidahnya (melatih bahasa 'Arab), agar jangan kena 'hawa' kota. Menurut pendapat orang Arab, tukang susu atau tukang didik orang kota itu serupa dengan malam yang gelap gelita layaknya, menghabiskan pengharapan tentang hari kemudian anak-anak. Oleh itu, Abdul Muthalib pun mencari para wanita yang sesuai untuk menyusui Muhammad Rasulullah SAW.

Pada waktu itu, datanglah ke kota beberapa orang perempuan dari Badwi bani Sa'ad bin Bakr mencari anak-anak yang akan disusukan. Yang beruntung beroleh Muhammad ialah seorang perempuan bernama Halimah binti Abu Zu'aib bin al-Harits as-Sa'diyyah. Suaminya bernama al-Harits bin 'Abdul-Uzza, yang diberi gelaran Abu Kabsyah, berasal dari kabilah yang sama. Maka diterimanyalah anak kecil itu dari ibunya, lalu terus digendungnya ke kampungnya di Badwi Bani Sa'ad bin Bakr. Empat tahun lamanya anak itu di dalam asuhan Halimah. 1

Antara saudara-saudara Rasulullah SAW dari satu susuan di sana adalah Abdullah bin al-Harits, Anisah binti al-Harits, Hudzafah atau Judzamah binti Al-Harits. Bapa saudara Baginda, Hamzah bin Abdul Muthalib juga disusui di Bani Sa'ad. Suatu hari ibu susuan Rasulullah SAW ini juga pernah menyusui Hamzah semasa beliau masih dalam susuannya. Jadi Hamzah adalah saudara sesusuan Rasulullah SAW dari dua pihak, yaitu dari Tsuwaibah dan dari Halimah as-Sa'diyyah.

Ahli sirah telah sebulat suara mengatakan bahawa kampung bani Sa'ad ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Sesampai sahaja Rasulullah SAW ke rumah Halimatus Sa'diyyah dan menyusu darinya ketika itu juga keadaan pun berubah. Kampung yang dulunya kering tandus mulai menghijau, kambing ternakan yang dahulu kelaparan kini bila kembali dari ladang ternakan kelihatan riang dan uncang-uncang susunya penuh dengan s

PEMBEDAHAN OLEH JIBRIL AS

Mengikut apa yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW telah dibedah perutnya semasa bersama bani Sa'ad. Ketika itu Baginda baru berusia lima tahun.

Peristiwa pembedahan perut Rasulullah SAW semasa Baginda tinggal bersama Halimatus Sa'diyyah merupakan salah satu tanda kenabian dan tanda pemilihan Allah SWT terhadapnya untuk sesuatu yang mulia.

Peristiwa ini telah diperihalkan dengan betul dan benar melalui beberapa orang sahabat. Antaranya Anas bin Malik RA. Perihalnya terdapat dalam kitab Hadith Muslim yang bermaksud:

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah didatangi Jibril AS ketika Baginda sedang bermain-main dengan sekumpulan kanak-kanak. Jiibril AS telah merebahkan dan membelah betul-betul pada hati dan mengeluarkannya kemudian dikeluarkan seketul darah sambil berkata : Inilah sasaran syaitan ke hati engkau. Lepas itu dibasuhnya di dalam tas dari emas dengan air zam-zam barulah dimasukkan semula ke tempat asalnya dan kanak-kanak yang lain berkejaran lari menemui ibu penyusunya Halimah melaung-laung : Muhammad telah dibunuh dan mereka semua meluru ke arah Nabi Muahmmad dan didapati pucat lesu.

Hikmah Ilahi di sini bukanlah membuang buli-buli kejahatan. Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui dari tubuh badan Rasulullah SAW kerana kalaulah di sana terdapat buli-buli kejahatan yang merupakan sumber kejahatan maka sudah tentu boleh diubah manusia jahat menjadi baik dengan cara pembedahan. Tetapi hikmat Ilahi yang jelas di sini ialah mengiklan dan mengisytiharkan kerasulan Baginda dan menjadikannya ma'sum dan mempersiapkan Baginda untuk menerima wahyu dari kecil lagi dengan cara yang boleh dilihat dengan mata kasar kerana dengan jalan ini membawa orang percaya dan beriman dengan risalah pengutusannya dengan mudah. Pembedahan tadi adalah pembersihan rohani dengan suatu cara yang boleh dinampakkan oleh pancaindera supaya ini menjadi canang Ilahi kepada manusia seluruhnya dengan boleh dilihat dan didengar.

Sebab yang membawa kita percayakan peristiwa pembedahan ialah kerana kebenaran dan sahnya cerita ini. Kalaulah perkara ini sudah jelas bak di tengahari maka tidak ada sebab-sebab yang boleh kita larikan dari kebenarannya. Tetapi bagi mereka yang lemah iman kepada Allah SWT perkara ini membawa kepada kelemahan iman mereka terhadap kenabian dan kerasulan Muhammad SAW. Orang seperti ini tidak ada bezanya sama ada mereka mengetahui atau tidak akan hikmah-hikmah Ilahi dan sebab-sebabnya. 2

KEWAFATAN AMINAH, IBU RASULULLAH SAW

Setelah Rasulullah SAW berada di bawah jagaan Halimatus Sa'diyyah selama empat tahun lamanya, anak itu dikembalikan kepada ibunya, Aminah. Menurut adat Arab, setiap tahun Aminah pergi menziarahi ke pusara suaminya dekat kota Madinah itu. Setelah Rasulullah SAW dikembalikan oleh Halimah, tidak berapa lama kemudian, pergilah dia berziarah ke pusara suaminya itu bersama-sama dengan anaknya yang masih dalam pangkuan itu, bersama-sama pula dengan budak pusaka ayahnya, seorang perempuan bernama Ummi Aiman.

Tetapi di dalam perjalanan pulang, Aminah ditimpa demam pula, lalu menemui ajalnya. Dia meninggal dan mayatnya dikuburkan di al-Abwa', suatu dusun di antara kota Madinah dengan Makkah. Anak yang malang itu pindahlah ke dalam gendungan Ummi Aiman. Dialah yang membawa anak itu balik ke Makkah. Anak itu kemudiannya diasuh dengan penuh kasih sayang oleh datuknya 'Abdul Muttalib.

Berkata Ibnu Ishak : "Maka adalah Rasulullah SAW itu hidup di dalam asuhan datuknya 'Abdul Muttalib bin Hasyim. Datuknya itu ada mempunyai suatu hamparan tempat duduk di bawah lindungan Ka'bah. itu. Anak-anaknya semuanya duduk di sekeliling hamparan itu. Kalau dia belum datang, tidak ada seorang pun anak-anaknya yang berani duduk dekat, lantaran amat hormat kepada orang tua itu.

Maka datanglah Rasulullah SAW, ketika itu dia masih kanak-kanak, dia duduk saja di atas hamparan itu. Maka datang pulalah anak-anak datuknya itu hendak mengambil tangannya menyuruhnya undur. Demi kelihatan oleh 'Abdul Muttalib, dia pun berkata : "Biarkan saja cucuku ini berbuat sekehendaknya. Demi Allah sesungguhnya dia kelak akan mempunyai kedudukan penting.' Lalu anak itu didudukkannya di dekatnya, dibarut-barutnya punggungnya dengan tangannya, disenangkannya hati anak itu dan dibiarkannya apa yang diperbuatnya." 1


Rasulullah SAW dijaga oleh 'Abdul Muttalib

Kewafatan datuk Rasulullah, Abdul Muttalib



PERJALANAN KE SYAM BERSAMA ABU THALIB

Dalam usia 12 tahun, bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Thalib membawa bersama-samanya ke negeri Syam (Syria). Ketika mereka sampai di suatu tempat yang dikenali dengan "Basra", mereka telah bertemu dengan seorang paderi yang bernama Buhaira, seorang yang bijak mengenai Kitab Injil dan agama Nasrani.

Beliau memerhati Rasulullah SAW kemudian bertanya kepada Abu Thalib, katanya, "Budak ini anak tuan hambakah?" Lantas dijawab oleh Abu Thalib, "Ya, budak ini anakku." Oleh kerana Abu Thalib terlalu kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW sejak dahulu lagi, maka beliau menyebut-nyebut Baginda sebagai anaknya. Kemudian Buhaira menegaskan, "Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup." Abu Thalib menjawab, "Sebenarnya budak ini anak saudaraku, bapanya meninggal ketika dia masih dalam perut ibunya."

Paderi tadi menambah, "Memang benar apa yang engkau ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam Injil dan di sini ingin saya memberi nasihat iaitu supaya segeralah engkau membawanya pulang sebab kalaulah ternampak oleh orang-orang Yahudi mereka akan mengancam nyawanya kerana anak saudaramu ini di masa muka nanti akan membawa suatu perkara besar dan agung." Maka Abu Thalib pun segeralah pulang ke Makkah bersama Rasulullah SAW. 2

TERLIBAT DALAM PEPERANGAN FIJAR

Pada waktu Rasulullah SAW masih muda belia, berkobarlah peperangan 'Fijar'. Fijar, ertinya peperangan yang melanggar akan kesucian bulan yang tidak boleh berperang padanya, lantaran bulan itu musim haji.

Yang berperang ialah kaum Quraisy bersama-sama dengan persukuan-persukuan yang mengikat perjanjian dengannya, menghadapi kaum Qais bersama dengan kabilah yang mengikat perjanjian dengannya pula. Peperangan ini terjadi di Nakhlah, di antara Makkah dengan Thaif. Yang menjadi kepala perang umum dari pasukan Quraisy ialah Harb bin Umaiyah, kerana namanya yang baik dan usianya yang telah lanjut. Dari bani 'Abdul Muttalib dikepalakan pula az-Zubair bin Abdul Muttalib.

Nabi pun hadir di dalam peperangan ini. Kerjanya ialah mengisikan panah kepada busur ketika akan dipanahkan oleh bapa-bapa saudaranya. 1

PERJALANAN KE SYAM KALI KEDUA

Khadijah binti Khuwailid al-Asadiyah merupakan seorang perempuan yang memegang perniagaan besar, bangsawan, bernama baik dan berharta. Biasanya dia menggaji orang untuk menjalankan perniagaan itu. Beliau juga terkenal dengan kemuliaan budi. Sebilangan besar orang-orang 'Arab pada masa itu meminjam sebahagian daripada hartanya itu sebagai modal perniagaan mereka.

Apabila Khadijah mendengar berita perihal peribadi Rasulullah SAW yang mulia dan mempunyai akhlaq yang terpuji itu, beliau terus mempelawa Rasulullah SAW supaya menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya dan sanggup memberi keuntungan yang lebih daripada yang pernah diberikannya kepada orang lain. Untuk mengiringi Baginda dalam usaha perniagaan nanti Baginda akan dibantu oleh seorang budak suruhan Khadijah yang bernama Maisarah.

Tawaran itu telah diterima baik oleh Rasulullah SAW dengan penuh kerelaan hati. Baginda terus berangkat ke negeri Syam untuk menjalankan urusan perniagaan bersama Maisarah. Dalam perniagaan ini Baginda telah mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Apabila Baginda kembali bertemu Khadijah dengan keuntungannya tadi, Baginda terus menyerahkan kepada Khadijah apa yang perlu dan patut diserahkan dengan penuh amanah. 2


PERKAHWINAN DENGAN SAYYIDATINA KHADIJAH

Semasa di Syam Maisarah telah melihat dengan mata kepalanya sendiri dan tertawan dengan budi pekerti Baginda yang mulia dan segala-galanya ini terus diceritakan kepada Khadijah. Khadijah sungguh tertawan dengan sifat amanah dan budi pekerti Baginda yang tinggi dan yang lebih menghairankan lagi ialah keuntungan yang berlebihan yang diperolehinya dengan berkat Baginda.

Dengan perantaraan Nafisah binti Manbah, Khadijah telah menawarkan dirinya kepada Rasulullah SAW untuk menjadi teman hidupnya yang halal. Tawarannya tadi telah disambut baik oleh Rasulullah SAW dan dengan tidak membuang masa, Baginda terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya dan mereka pun terus melamar Khadijah melalui bapa saudaranya 'Amru bin Asad.

Perkahwinan pun dilangsungkan dengan selamatnya. Maskahwinnya ialah 20 ekor unta muda. Pada waktu itu Rasulullah berusia genap 25 tahun sedangkan Khadijah telah berusia 40 tahun. 2

BERKHALWAT DI GUA HIRA'

Rasulullah SAW adalah seorang yang dihormati dan dipercayai di kalangan penduduk Makkah. Baginda begitu terkenal dengan akhlaq yang mulia dan sentiasa menghubungkan silaturrahim. Sikap dan peribadi Baginda yang mulia ini adalah begitu berbeza sekali dengan kebanyakan penduduk Makkah pada ketika itu yang tenggelam dalam lautan jahiliyyah.

Oleh kerana itu wajar sekali apabila Rasulullah SAW membiarkan dirinya berjalan sesuai dengan pembawaannya, iaitu pembawaan berfikir dan bermenung, dengan mendengarkan percakapan masyarakatnya tentang berhala-berhala, serta apa pula yang dikatakan orang-orang Nasrani dan Yahudi tentang diri mereka itu. Baginda berfikir dan merenungkan. Di kalangan masyarakatnya Bagindalah orang yang paling banyak berfikir dan merenung. Jiwa yang kuat dan berbakat ini - jiwa yang sudah mempunyai persiapan untuk kelak menyampaikan risalah Tuhan kepada umat manusia, serta membawa kepada kehidupan rohani yang hakiki - jiwa demikian tidak mungkin berdiam diri saja melihat manusia yang sudah hanyut ke dalam lembah kesesatan. Sudah seharusnya Baginda mencari petunjuk dalam alam semesta ini, sehingga Tuhan nanti menentukannya sebagai yang akan menerima risalahNya. Begitu besar dan kuatnya kecenderungan rohani yang ada padanya, Baginda tidak ingin menjadikan dirinya seperti dukun atau ingin menempatkan diri sebagai ahli fikir seperti dilakukan oleh Waraqa bin Naufal dan orang-orang sepertinya. Yang dicarinya hanyalah kebenaran semata-mata. Fikirannya penuh untuk itu, banyak sekali Baginda bermenung. Fikiran dan renungan yang berkecamuk dalam hatinya itu sedikit sekali dinyatakan kepada orang lain.

Sudah menjadi kebiasaan orang-orang 'Arab pada masa itu di mana golongan berfikir mereka selama beberapa waktu pada setiap tahun menjauhkan diri dari keramaian orang, berkhalwat dan mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka dengan bertapa dan berdoa, mengharapkan diberi rezeki dan pengetahuan. Pengasingan untuk beribadat seperti ini mereka namakan tahannuth.

Di puncak Gunung Hira',sejauh dua farsakh ( bahasa Farsi, parsang, ukuran panjang dahulu kala, kira-kira 3.5 batu atau hampir 6 km ) sebelah utara Makkah, terletak sebuah gua yang baik sekali dijadikan tempat menyendiri dan tahannuth. Sepanjang bulan Ramadhan setiap tahun Baginda pergi ke sana dan berdiam di tempat itu, cukup hanya dengan sedikit bekalan yang dibawanya. Baginda tekun dalam renungan dan ibadat, jauh dari segala kesibukan hidup dan keributan manusia. Baginda mencari kebenaran, dan hanya kebenaran semata.

Di tempat ini rupanya Rasulullah SAW mendapat tempat yang paling baik guna mendalami fikiran dan renungan yang berkecamuk dalam dirinya. Juga di tempat ini Baginda mendapatkan ketenangan dalam dirinya serta ubat penawar hasrat hati yang ingin menyendiri, ingin mencari jalan memenuhi kerinduannya yang selalu makin besar, ingin mencapai ma'rifat serta mengetahui rahsia alam semesta.

Demikian kuatnya Baginda merenung mencari hakikat kebenaran itu, sehingga Baginda lupa akan dirinya, lupa makan, lupa segala yang ada dalam hidup ini. Sebab segala yang dilihatnya dalam kehidupan manusia sekitarnya, bukanlah suatu kebenaran. Di situ Baginda mengungkapkan dalam kesedaran batinnya segala yang disedarinya. Tambah tidak suka lagi Baginda akan segala prasangka yang pernah dikejar-kejar orang.

Baginda tidak berharap kebenaran yang dicarinya itu akan terdapat dalam kisah-kisah lama atau dalam tulisan-tulisan para pendeta, melainkan dalam alam sekitarnya :dalam luasan langit dan bintang-bintang, dalam bulan dan matahari, dalam padang pasir di kala panas membakar di bawah sinar matahari yang berkilauan. Atau di kala langit yang jernih dan indah, bermandikan cahaya bulan dan bintang yang sedap dan lembut, atau dalam laut dan deburan ombak, dan dalam segala yang ada di sebalik itu, yang ada hubungannya dengan wujud ini, serta diliputi seluruh kesatuan wujud. Dalam alam itulah Baginda mencari haqiqat tertinggi. Dalam usaha mencapai itu, pada saat-saat Baginda menyendiri demikian jiwanya merasa bebas mencapai hubungan dengan alam semesta ini, menembusi tabir yang menyimpan semua rahsia. Baginda tidak memerlukan permenungan yang panjang untuk mengetahui bahawa apa yang dipraktikkan oleh masyarakatnya dalam soal-soal hidup dan apa yang disajikan sebagai korban-korban untuk tuhan-tuhan mereka itu, tidak membawa kebenaran sama sekali. Berhala-berhala yang tidak berguna, tidak menciptakan dan tidak pula mendatangkan rezeki, tidak dapat memberi perlindungan kepada sesiapapun yang ditimpa bahaya. Hubal, Lata dan 'Uzza, dan semua patung-patung dan berhala-berhala yang terpancang di dalam dan di sekitar Ka'bah, tidak pernah menciptakan, sekalipun seekor lalat, atau akan mendatangkan suatu kebaikan bagi Makkah.
Tetapi! Ah, di manakah kebenaran itu! Di mana kebenaran dalam alam semesta yang luas ini, luas dengan buminya, dengan lapisan-lapisan langit dan bintang-bintangnya? Adakah barangkali dalam bintang yang berkelip-kelip, yang memancarkan cahaya dan kehangatan kepada manusia, dari sana pula hujan diturunkan, sehingga kerananya manusia dan semua makhluk yang ada di muka bumi ini hidup dari air, dari cahaya dan kehangatan udara? Tidak! Bintang-bintang itu tidak lain adalah benda-benda langit seperti bumi ini juga. Atau barangkali di sebalik benda-benda itu terdapat kuasa yang tidak terbatas, tidak berkesudahan?

Tetapi apa kuasa itu? Apakah hidup yang kita alami sekarang dan esok akan berkesudahan? Apa asalnya dan apa sumbernya? Kebetulan sajakah bumi ini dijadikan dan dijadikan pula kita di dalamnya? Tetapi, baik bumi atau hidup ini sudah mempunyai ketentuan yang pasti yang tidak berubah-ubah, dan tidak mungkin dasarnya hanya kebetulan saja. Apakah yang dialami manusia, kebaikan atau keburukan, datang atas kehendak manusia sendiri, atau itu sudah ditentukan sehingga manusia tidak berkuasa memilih yang lain?

Masalah-masalah kejiwaan dan kerohanian sebegitu, itu juga yang difikirkan Rasulullah SAW selama Baginda mengasingkan diri dan bertafakur dalam Gua Hira'. Baginda ingin melihat kebenaran itu dan melihat hidup itu seluruhnya. Pemikirannya itu memenuhi jiwanya, memenuhi jantungnya, peribadinya dan seluruh wujudnya. Siang dan malam hal ini menderanya terus menerus. Apabila bulan Ramadhan sudah berlalu dan Baginda kembali kepada Khadijah, pengaruh fikiran yang masih membekas padanya membuatkan Khadijah menanyakannya selalu, karena dia pun ingin lega hatinya apabila sudah diketahuinya Baginda dalam keadaan sihat dan afiat.

Dalam melakukan ibadat selama dalam tahannuth itu, adakah Rasulullah SAW menganut sesuatu syari'at tertentu? Dalam hal ini ulama'-ulama' berlainan pendapat. Dalam Tarikhnya Ibnu Kathir menceritakan sedikit tentang pendapat-pendapat mereka mengenai syari'at yang digunakannya melakukan ibadat itu : Ada yang mengatakan menurut syari'at Nuh, ada yang mengatakan menurut Ibrahim, yang lain berkata menurut syari'at Musa, ada yang mengatakan menurut Isa dan ada pula yang mengatakan, yang lebih dapat dipastikan, bahawa Baginda menganut sesuatu syari'at dan diamalkannya. Barangkali pendapat yang terakhir ini lebih tepat daripada yang sebelumnya. Ini adalah sesuai dengan dasar renungan dan pemikiran yang menjadi kedambaan Baginda.

Tahun telah berganti tahun dan kini telah tiba pula bulan Ramadan. Rasulullah SAW pergi ke Gua Hira', Baginda kembali bermenung, sedikit demi sedikit Baginda bertambah matang, jiwanya pun semakin penuh. Sesudah beberapa tahun, jiwa yang terbawa oleh kebenaran tertinggi itu dalam tidurnya bertemu dengan mimpi haqiqi yang memancarkan cahaya kebenaran yang selama ini dicarinya. Bersamaan dengan itu pula dilihatnya hidup yang sia-sia, hidup tipu daya dengan segala macam kemewahan yang tiada berguna.

Ketika itulah Rasulullah SAW percaya bahawa masyarakatnya telah sesat daripada jalan yang benar, dan kehidupan kerohanian mereka telah rosak kerana tunduk kepada khayalan berhala-berhala serta kepercayaan-kepercayaan semacamnya yang tidak kurang pula sesatnya. Semua yang sudah pernah disebutkan oleh kaum Yahudi dan kaum Nasrani tidak dapat menolong mereka dari kesesatan itu. Apa yang disebutkan mereka itu masing-masing memang benar; tetapi masih mengandungi bermacam-macam tahyul dan pelbagai macam cara paganisma, yang tidak mungkin sejalan dengan kebenaran sejati, kebenaran mutlak yang sederhana, tidak mengenal segala macam spekulasi perdebatan kosong, yang menjadi pusat perhatian kedua-dua golongan Ahli Kitab itu. Dan kebenaran itu ialah Allah SWT, Khaliq seluruh alam, tidak ada Tuhan selain Dia. Kebenaran itu ialah Allah SWT Pemelihara semesta alam. Dialah Maha Rahman dan Maha Rahim. Kebenaran itu ialah bahawa manusia dinilai berdasarkan perbuatannya. "Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat atom pun akan dilihatNya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat atom pun akan dilihatNya pula." (Qur'an, 99:7-8). Dan bahawa syurga itu benar adanya dan neraka pun benar adanya. Mereka yang menyembah tuhan selain Allah SWT mereka itulah yang akan menghuni neraka, tempat tinggal dan kediaman yang paling durjana.

Kini Rasulullah SAW sudah menjelang usia empat puluh tahun. Baginda pergi ke Gua Hira' untuk melakukan tahannuth seperti selalunya. Jiwanya sudah penuh iman atas segala apa yang telah dilihatnya dalam mimpi haqiqi itu. Baginda telah membebaskan diri daripada segala kebatilan. Tuhan telah mendidiknya, dan didikannya baik sekali. Dengan sepenuh kalbu Baginda menghadapkan diri ke jalan yang lurus, kepada kebenaran yang abadi. Baginda telah menghadapkan diri kepada Allah SWT dengan seluruh jiwanya agar dapat memberikan hidayah dan bimbingan kepada masyarakatnya yang sedang hanyut dalam lembah kesesatan.

Dalam hasratnya menghadapkan diri itu Rasulullah SAW bangun di tengah malam, kalbu dan kesedarannya dinyalakan. Lama sekali Baginda berpuasa, dengan begitu renungannya dihidupkan. Kemudian Baginda turun dari gua itu, melangkah ke jalan-jalan di sahara. Lalu Baginda kembali ke tempatnya berkhalwat, hendak menguji apa yang berkecamuk dalam perasaannya itu, apa yang terlihat dalam mimpi itu? Hal seperti itu berjalan selama enam bulan, sampaikan Baginda merasa khuatir akan membawa akibat lain terhadap dirinya. Oleh kerana itu Baginda menyatakan rasa kekhuatirannya itu kepada Khadijah dan menceritakan apa yang telah dilihatnya. Baginda khuatir kalau-kalau itu adalah gangguan jin.

Tetapi isteri yang setia itu dapat menenteramkan hatinya. Dikatakannya bahawa Baginda adalah al-Amin, tidak mungkin jin akan mendekatinya, sekalipun memang tidak terlintas dalam fikiran isteri atau dalam fikiran suami itu, bahawa Allah SWT telah mempersiapkan pilihanNya itu dengan memberikan latihan rohani sedemikian rupa guna untuk menghadapi saat yang dahsyat, berita yang dahsyat, iaitu saat datangnya wahyu pertama. Dengan itu Baginda dipersiapkan untuk membawakan pesan dan risalah yang besar. 5



SIFAT DAN AKHLAQ RASULULLAH S.A.W

Diriwayatkan oleh Ya'kub bin al-Fasawy dari Hassan bin Ali r.a, dia berkata, "Pernah aku tanyakan kepada bapa saudaraku yang bernama Hindun bin Abi Haala kerana dia adalah seorang yang pandai sekali dalam menyifatkan tentang peribadi Rasulullah SAW, dan aku sangat senang sekali mendengarkan sifat Rasulullah SAW untuk aku jadikan bahan ingatan.

Maka katanya, "Rasulullah SAW adalah agung dan diagungkan, wajahnya berkilauan bagaikan bulan purnama, tingginya cukup (tidak pendek dan tidak jangkung), dadanya lebar (bidang), rambutnya selalu rapi dan terbelah di tengahnya, rambutnya panjang sampai pada hujung telinganya, dan berambut banyak, mukanya bergabung menjadi satu, di antara kedua alisnya ada urat yang dapat dilihat pada waktu Baginda sedang marah, hidungnya membungkuk di tengahnya dan kecil lubangnya, nampak sekali padanya cahaya, sehingga orang yang memperhatikannya mengira hidung Baginda itu tinggi (mancung). Janggutnya (jambang) lebat, bola matanya sangat hitam sekali, kedua pipinya lembut (halus), mulutnya tebal, giginya putih bersih dan jarang, pada dadanya tumbuh bulu halus, lehernya indah seperti berkilauan saja, bentuknya sedang, agak gemuk dan gesit (lincah), antara perut dan dadanya sama (tegak), dadanya lebar, di antara dua bahunya melebar, tulangnya besar, kulitnya bersih, antara dada sampai ke pusarnya ditumbuhi bulu halus seperti garis, pada kedua teteknya dan pada perutnya tidak ada bulu, sedangkan pada kedua hastanya dan kedua bahunya dan pada dadanya ditumbuhi bulu, lengannya panjang, telapaknya lebar, halus tulangnya, jari telapak kedua tangan dan kakinya tebal berisi daging, panjang hujung jarinya, rongga telapak kakinya tidak terkena tanah apabila Baginda sedang berjalan, kedua telapak kakinya lembut (licin) tidak ada lipatan dan kerutan. Apabila berjalan derapan kakinya itu terangkat tinggi seolah-olah air yang sedang jatuh (jalannya ringan, kakinya terangkat, tetapi tidak seperti jalannya orang yang sombong), jalannya tunduk dan menunjukkan kehebatan, apabila berjalan, maka jalannya agak cepat bagaikan dia turun dari tempat yang tinggi, apabila menoleh, Baginda menolehkan seluruh badannya, matanya selalu tertunduk ke bawah, dan pandangannya sentiasa memperhatikan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, selalu berjalan dengan para sahabatnya, dan selalu memulai dengan salam apabila Baginda berjumpa dengan sesiapa pun."


KEBIASAAN RASULULLAH SAW

Kataku selanjutnya, "Terangkanlah kepadaku tentang kebiasaannya." Maka katanya, "Keadaan peribadi Rasulullah SAW itu biasanya tampak selalu kelihatan seolah-olah selalu berfikir, tidak pernah mengecap istirehat walau sedikit pun, tidak berbicara kecuali hanya apabila perlu, sentiasa diam, selalu memulai berbicara dan menutupnya dengan sepenuh mulutnya (jelas), apabila sedang berbicara Baginda selalu memakai kalimat-kalimat yang banyak ertinya (bijaksana), pembicaraannya itu jelas tanpa berlebihan ataupun kurang, lemah lembut budi pekertinya, tidak kasar, tetapi bukannya rendah, selalu mengagungkan nikmat Allah SAW walaupun yang sekecil-kecilnya dan tidak pernah mencelaNya sedikit pun. Apabila ada orang yang memperkosa kebenaran, maka Baginda akan marah-marah dengan sangat dan tidak ada seorang pun yang dapat menghalangi kemarahannya itu sampai kebenaran itu akan menang. (Dan dalam riwayat lain disebutkan, bahawa Baginda tidak pernah marah apabila berkenaan dengan urusan keduniaan, tetapi apabila ada sesuatu yang benar sedang diperkosa maka Baginda akan marah sehingga tidak akan memandang sesiapa pun juga dan tidak akan ada yang dapat menghalangi kemarahannya itu sampai kebenaran itu menang, dan tidak pernah marah kerana dirinya). Apabila Baginda sedang memberikan isyarat (menunjuk), maka Baginda mengisyaratkan dengan seluruh telapak tangannya, apabila sedang takjub pada sesuatu maka Baginda balikkan telapak tangannya, apabila Baginda sedang berbicara maka sering Baginda memukulkan telapak tangannya yang kanan pada ibu jari tangan kirinya, apabila sedang marah maka sering Baginda berpaling. Apabila sedang bergembira Baginda sering tersenyum (ketawa), apabila tertawa Baginda sentiasa tersenyum saja, dan senyumannya itu serupa dengan embun yang dingin.

Maka kata Hassan berita ini aku sembunyikan dan adikku ternyata sudah lebih dahulu mengetahuinya daripadaku dan malahan dia sendiri telah bertanya pada ayahnya tentang keadaan keluar masuknya Rasulullah SAW ke majlisnya, dan bentuknya pun tidak juga ketinggalan sedikitpun jua." Kata Hasan, "Maka aku pun pernah bertanya tentang peribadi Rasullullah SAW dan dia pun menjawab, "Bahawa Rasulullah SAW apabila telah masuk ke rumahnya, Baginda membahagi waktunya menjadi tiga bahagian. Sebahagian untuk Allah SWT, sebahagian lagi untuk keluarganya dan sebahagiannya yang lain untuk dirinya sendiri. Kemudian bahagian untuk dirinya itu dibahagikan pula untuk kepentingannya sendiri dan untuk kepentingan orang lain. Baginda selalu mengutamakan kepentingan umum lebih dari kepentingan peribadinya sendiri, Baginda tidak pernah mengurangi hak mereka sedikit pun. Adapun contoh dari sirahnya berkenaan dengan kepentingan umat, adalah bahawa Baginda lebih mengutamakan orang-orang yang mulia dengan segala kesopanan dan menurut kedudukannya dalam ketakwaan. Sebahagian daripada mereka ada yang mempunyai satu kepentingan, ada pula yang mempunyai dua kepentingan, dan ada pula yang mempunyai banyak keperluan. Untuk itu Baginda menyibukkan dirinya dengan mereka dan mengatur mereka demi untuk kepentingan mereka dan sekalian umat dari urusannya tadi. Baginda sibuk dengan memberitahu kepada mereka apa yang harus dikerjakan, dengan memesankan : Hendaknya orang yang kini hadir mengkhabarkan kepada mereka yang tidak hadir, dan sampaikanlah hajatnya orang yang tidak dapat berjumpa denganku, kerana sesungguhnya barangsiapa yang menyampaikan hajatnya seseorang yang tidak mampu untuk bertemu dengan seorang pemimpin, maka Allah SWT akan menetapkan kaki orang itu kelak pada hari kiamat. Para pengunjung yang datang itu tidak keluar kecuali setelah mereka mengerti segala masalah dan dalilnya."


RASULULLAH SAW APABILA DI LUAR

Kata Hassan selanjutnya, "Kemudian aku tanyakan kepada ayahku bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW apabila berada di luar. Maka jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa menjaga lidahnya kecuali hanya untuk berbicara seperlunya, apabila berbicara sentiasa berbicara dengan halus (lemah-lembut) dan tidak pernah berbicara dengan kasar terhadap mereka, dan sentiasa memuliakan terhadap orang yang terpandang (berkedudukan) dan memperingatkan orang jangan sampai ada yang bertindak menyinggung perasaannya dan perbuatannya. Kebiasaan Baginda selalu menanyakan keadaan sahabat-sahabatnya, dan Baginda selalu memuji segala sesuatu yang baik dan membenci segala sesuatu yang buruk. Segala urusannya itu dibuatnya sebaik mungkin. Tidak pernah Baginda lalai atau malas, demi menjaga jangan sampai mereka melalaikan dan meremehkan. Segala sesuatu dipersiapkannya terlebih dahulu, dan tidak pernah akan meremehkan (mengecilkan) kebenaran. Orang yang paling terpandang menurut Rasulullah SAW ialah mereka yang paling baik kelakuannya, orang yang paling mulia ialah mereka yang paling banyak bernasihat (memberikan petunjuk) kepada orang lain, dan orang yang paling tinggi sekali kedudukannya ialah orang yang selalu ramah-tamah dan yang paling banyak menolong orang lain.".


RASULULLAH SAW APABILA DUDUK

Kata Hasan, "Kemudian aku tanyakan tentang duduknya Rasulullah SAW. Jawabnya, "Kebiasaan Rasulullah SAW tidak pernah duduk ataupun berdiri melainkan dengan berzikir, tidak pernah menguasai tempat duduk dan Baginda melarang seseorang untuk menguasai tempat duduk, dan apabila Baginda sampai pada tempat orang yang sedang berkumpul maka Baginda duduk di mana ada tempat terluang (tidak pernah mengusir orang lain dari tempat duduknya) dan Baginda juga menyuruh berbuat seperti itu. Baginda selalu memberikan kepuasan bagi sesiapa saja yang duduk bersama Baginda, sehingga jangan sampai ada orang yang merasa bahawa orang lain dimuliakan oleh Baginda lebih daripadanya. Apabila ada yang duduk di majlisnya, Baginda selalu bersabar sampai orang itu yang akan bangkit terlebih dahulu (tidak pernah mengusir teman duduknya). Dan apabila ada yang meminta pada Baginda sesuatu hajat maka Baginda selalu memenuhi permintaan orang itu, atau apabila tidak dapat memenuhinya Baginda selalu berkata kepada orang itu dengan perkataan yang baik. Semua orang selalu puas dengan budi pekerti Baginda sehingga mereka selalu dianggap sebagai anak Baginda dalam kebenaran dengan tidak ada perbezaan sekikit pun di antara mereka dalam pandangan Baginda. Kemudian majlis Baginda itu adalah tempatnya orang yang ramah-tamah, malu, orang sabar dan menjaga amanah, tidak pernah di majlisnya itu ada yang mengeraskan suaranya, di majlisnya itu tidak akan ada yang mencela seseorang jelek dan tidak akan ada yang menyiarkan kejahatan orang lain. Di majlisnya itu mereka selalu sama rata, yang dilebihkan hanya ketakwaan saja, mereka saling berlaku rendah diri (bertawadhu') sesama mereka, yang tua selalu dihormati dan yang muda selalu disayangi, sedangkan orang yang punya hajat lebih diutamakan (didahulukan) dan orang-orang asing (ghorib) selalu dimuliakan dan dijaga perasaannya."


RASULULLAH SAW DI TENGAH PARA SAHABAT

Kata Hassan, "Maka aku tanyakan tentang keadaannya apabila Baginda sedang berada di tengah-tengah para sahabatnya. Jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa periang (gembira), budi pekertinya baik, sentiasa ramah-tamah, tidak kasar mahupun bengis terhadap seesorang, tidak suka berteriak-teriak, tidak suka perbuatan yang keji, tidak suka mencaci, dan tidak suka bergurau (olok-olokan), selalu melupakan apa yang tidak disukainya, dan tidak pernah menolak permintaan seseorang yang meminta. Baginda meninggalkan tiga macam perbuatan : Baginda tidak mahu mencela seseorang atau menjelekkannya, dan tidak pernah mencari-cari kesalahan seseorang, dan tidak akan berbicara kecuali yang baik saja (yang berfaedah). Namun apabila Baginda sedang berbicara maka pembicaraannya itu akan membuat orang yang ada di sisinya menjadi tunduk, seolah-olah di atas kepala mereka itu ada burung yang hinggap. Apabila Baginda sedang berbicara maka yang lain diam mendengarkan, namun apabila diam maka yang lain berbicara, tidak ada yang berani di majlisnya untuk merosakkan (memutuskan) pembicaraan Baginda. Baginda sentiasa ikut tersenyum apabila sahabatnya tersenyum (tertawa), dan ikut juga takjub (hairan) apabila mereka itu merasa takjub pada sesuatu, dan Baginda sentiasa bersabar apabila menghadapi seorang baru (asing) yang atau dalam permintaannya sebagaimana sering terjadi. Baginda bersabda, "Apabila kamu melihat ada orang yang berhajat maka tolonglah orang itu, dan Baginda tidak mahu menerima pujian orang lain kecuali dengan sepantasnya, dan Baginda tidak pernah memotong pembicaraan orang lain sampai orang itu sendiri yang berhenti dan berdiri meninggalkannya."


RASULULLAH SAW APABILA DIAM

Kata Hassan, "Selanjutnya aku tanyakan padanya bagaimanakah peribadi Rasulullah SAW apabila Baginda diam. Jawabnya, "Diamnya Rassulullah SAW terbahagi dalam empat keadaan : diam kerana berlaku santun, diam kerana selalu berhati-hati, diam untuk mempertimbangkan sesuatu dan diam kerana sedang berfikir. Adapun pertimbangannya berlaku untuk mempertimbangkan pendapat orang lain serta mendengarkan pembicaraan orang lain, sedangkan pemikirannya selalu tertuju pada segala sesuatu yang akan kekal dan sesuatu yang akan lenyap (fana'). Peribadi Rasulullah sAW sentiasa berlaku santun dan sabar dan Baginda tidak pernah membuat kemarahan seseorang dan tidak pernah membuat seseorang membencinya, dan Baginda sentiasa berlaku hati-hati dalam segala perkara; selalu suka pada kebaikan, dan berbuat sekuat tenaga untuk kepentingan dan demi kebaikan mereka itu baik di dunia mahupun kelak di akhirat." 3



ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

1. Khadijah binti Khuwailid

Sayyidatina Khadijah adalah seorang perempuan bangsawan Quraisy dan seorang hartawan. Ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW, dia berusia 40 tahun dan Baginda ketika itu berusia 25 tahun. Selama bersama Khadijah, Rasulullah SAW tidak pernah berkahwin dengan perempuan lain sehinggalah Khadijah meninggal dunia ketika berusia 65 tahun pada tahun ke 10 kerasulan.

Hasil daripada perkahwinan ini Rasulullah SAW dikurniakan 6 orang anak, dua orang putera dan empat orang puteri.


2. Saudah binti Zam’ah

Sayyidatina Saudah adalah salah seorang perempuan yang terawal yang memeluk Islam. Beliau dan suaminya termasuk dalam rombongan yang diperintahkan Rasulullah SAW berhijrah ke Habsyah. Suaminya Sakram bin 'Amir meninggal dunia sekembalinya mereka dari Habsyah. Bagi melindungi dan menolongnya daripada penderitaan dan fitnah, Rasulullah SAW mengahwininya pada tahun wafatnya Sayyidatina Khadijah.


3. 'Aisyah binti Abu Bakar

Pertunangan Rasulullah SAW dengan Sayyidatina 'Aisyah berlangsung di Makkah setelah sebulan dari perkahwinan Baginda dengan Sayyidatina Saudah dan perkahwinannya pula berlangsung pada tahun pertama Hijrah.

Pada hakikatnya perkahwinan ini adalah atas keinginan ayahanda Sayyidatina 'Aisyah iaitu Abu Bakar, selain untuk memenuhi harapan Rasulullah SAW yang menginginkan adanya seorang wanita yang dapat menyampaikan ajaran-ajaran Baginda. Kenyataannya Sayyidatina 'Aisyah memang seorang yang cepat dan cerdas dalam memahami ajaran-ajaran Rasulullah SAW dan pandai serta ahli tentang hukum-hukum Islam.


4. Hafsah binti Umar

Sayyidatina Hafsah adalah puteri ‘Umar bin Khattab r.a dan juga bekas isteri salah seorang sahabat yang syahid dalam perang Badar. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, 'Umar pernah menawarkan puterinya itu kepada Abu Bakar r.a dan 'Uthman bin Affan r.a, namun kedua-dua mereka menolak. Maka untuk menggembirakan hati 'Umar, Rasulullah SAW mengahwininya.


5. Zainab binti Khuzaimah

Sejak zaman jahiliah, Zainab terkenal sebagai seorang perempuan yang penyayang, pemurah dan budiman terutama kepada orang-orang miskin sehingga dia mendapat nama julukan "Ummul Masaakin" (ibu orang-orang miskin).

Sayyidatina Zainab adalah isteri Baginda yang keempat sesudah Saudah. Beliau wafat selang beberapa bulan sesudah perkahwinannya dengan Rasulullah SAW.

6. Hindun binti Abi Umaijah

Beliau juga digelar Ummu Salamah kerana mempunyai anak yang bernama Salamah hasil perkahwinannya dengan sahabat 'Abdullah bin 'Abdul Asad yang syahid ketika memimpin suatu petempuran.

Menurut sesetengah riwayat pada waktu Rasulullah SAW melamar Ummu Salamah, beliau menjawab, "Aku ini seorang perempuan yang sudah tua, menjadi ibu kepada anak-anak yatim dan saya sangat cemburu". Kata-kata itu disambut oleh Rasulullah SAW dengan menjawab, "Tentang perkataanmu : aku ini seorang perempuan yang sudah tua, aku jawab : aku lebih tua daripada kamu dan tidak akan tercela seorang yang kahwin dengan seorang laki-laki yang lebih tua daripadanya. Tentang perkataanmu : aku ini menjadi ibu anak-anak yatim, aku jawab : anak-anak yatim itu tanggungan Allah dan RasulNya. Tentang perkataanmu : aku ini seorang perempuan yang sangat cemburu, aku jawab : aku doakan kepada Allah mudah-mudahan Dia melenyapkan sifat yang demikian daripadamu".

7. Zainab binti Jahsy
Zainab adalah bekas isteri Zaid bin Harithah (bekas budak dan merupakan anak angkat Rasulullah SAW). Zaid menceraikan Zainab kerana tidak tahan dengan sikapnya yang sering membanggakan keturunan dan sering merendahkan darjat suaminya.

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab menghapuskan adat kebiasaan bangsa 'Arab yang menyamakan anak angkat dengan anak sendiri dari segi hak keturunan, hak warisan dan sebagainya. Perkahwinan ini berlangsung pada bulan Zulkaedah tahun ke 5 Hijrah.


8. Juwairiyah binti Harith

Beliau adalah salah seorang dari tawanan perang tentera muslimin dengan Bani Musthaliq, puteri kepada Harith bin Dhirar, ketua suku tersebut. Dia mendapatkan Rasulullah SAW untuk meminta pertolongan agar diperkenankan membayar tebusan untuk dirinya agar dimerdekakan. Baginda bersedia membayar tebusan dan mengahwininya.

Apabila beliau memeluk Islam dan berkahwin dengan Rasulullah SAW, lebih kurang 100 orang tawanan Bani Musthaliq dibebaskan oleh kaum muslimin kerana tidak mahu memperhambakan orang yang mempunyai tali perkahwinan dengan Baginda. Akhirnya mereka yang dibebaskan ini memeluk Islam. 'Aisyah pernah berkata, "Saya belum pernah mengetahui seorang perempuan yang banyak berkat kebaikannya kepada kaumnya lebih dari Juwairiyah".


9. Safiyyah binti Hujaj

Safiyyah adalah anak ketua Yahudi Bani Nadhir, Hujaj bin Akhtab. Beliau turut menjadi salah seorang tawanan dalam penaklukan Kota Khaibar. Suaminya terbunuh dalam peristiwa penaklukan itu. Safiyyah diserahkan kepada Rasulullah SAW, memandangkan dia adalah seorang puteri dari ketua Bani Nadhir. Dia dimerdekakan dan dikahwini oleh Baginda. Perkahwinan ini berlaku ketika tentera muslimin masih berada di Khaibar.


10. Ramlah binti Abu Sufian
Beliau adalah puteri Abu Sufian bin Harb dan isteri Abdullah bin Jahsy, pernah berhijrah ke Habsyah bersama suaminya. Sampai di sana suaminya masuk agama Nasrani dan dia diceraikan. Memandangkan orang tuanya yang masih musyrik dan suaminya yang telah bertukar agama, Rasulullah SAW mengirimkan seorang utusan kepada Raja Najasyi meminta dia meminang Ramlah bagi pihak Baginda. Raja Najasyi sendiri memberikan maskahwinnya. Perkahwinan ini berlaku pada tahun ke 6 Hijrah, ketika itu usia Ramlah lebih kurang 30 tahun. Setelah itu Raja Najasyi mengirimkan Ramlah mengadap Rasulullah SAW di Madinah pada tahun ke 7 hijrah. Dia wafat pada tahun ke 42 Hijrah ketika berusia lebih kurang 60 tahun.


11. Maimunah binti Al-Harits
Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau bernama Barrah. Baginda mengahwininya ketika Baginda baru saja selesai mengerjakan "Umrah al Qadha" di Mekah. Perkahwinan dengan Maimunah adalah perkahwinan Rasulullah SAW yang terakhir. Dia wafat pada tahun ke 63 hijrah dalam usia lebih kurang 80 tahun. 4

Tiada ulasan:

Hadis Nabi S.A.W

YA ALLAH RAHMATI KAMI DENGAN AL-QURAN