SELAMAT DATANG SAUDARA-SAUDARAKU

AHLAN WASAHLAN

Khamis, 30 Oktober 2008

BERPEGANG TEGUH KEPADA SUNNAH

Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah r.a berkata: "Telah menasihati kami oleh Rasulullah s.a.w akan suatu nasihat yang menggetarkan hati kami ketika mendengarnya, lalu kami berkata: Ya Rasulullah! Seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami.

Lalu, baginda pun bersabda: "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekali pun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak.
Maka, hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa' Ar-Rasyidin Al-Mahdiyyin (Khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah itu dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara yang baharu (bid'ah) yang diada-adakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat."
(Abu Daud dan Tirmidzi)

ADAB DAN AKHLAK SEORANG LELAKI

Bagaimana pula adab dan akhlak seorang lelaki?

1. Sentiasa memperbaharui syahadah, berikhtifar dan bertaubat.

2. Menunaikan fardhu sembahyang dengan berjamaah dan juga sembahyang Jumaat.

3. Jaga kebersihan diri, pakaian, tempat tinggal, tempat ibadah, kenderaan dan sebagainya. Bersugi, memakai wangian, bercelak, menyisir janggut dan rambut. mencukur bulu ari-ari, bulu ketiak, memotong kuku dan memelihara janggut dan misai agar sentiasa kelihatan terurus.

4. Tidak memakai pakaian yang melambangkan kemegahan, tidak berwarna-warni, tidak menyerupai pakaian wanita, tidak terlalu labuh sehingga melebihi paras buku lali.

5. Menjaga makan minum daripada sumber dan benda-benda haram dan yang boleh merosakkan kesihatan juga tidak makan berlebihan.

6. Ketika berjalan, tundukkan pandangan dan tidak menoleh ke kekiri dan kekanan.

7. Mengawal lidah, mata dan lain-lain dari perkara haram.

8. Jangan berludah merata-rata lebih-lebih lagi ketika sedang bercakap.

9. Tidak bergaul bebas dengan perempuan bukan muhrim apalagi berkhalwat.

10. Segala sikap dan tingkah lakunnya tidak menyerupai wanita.

11. Tidak mendedahkan aurat (yang di antara pusat dan lutut) kepada sesama lelaki.

12. Tidak mandi berbogel di tempat mandian umum.

13. Sentiasa membesihkan hati daripada sifat mazmumah dan mengisinya dengan sifat mahmudah.

14.Menambah ilmu-ilmu yang bermanfaat di samping ilmu fardhu ain.

15. Tidak tidur satu selimut dengan lelaki lain.

16. Sentiasa mendampingi orang-orang soleh.

17. Sentiasa bermusafir dengan tujuan mencari ilmu dan menambahkan pengalaman di samping mencari guru yang murshid yang boleh mendidik akhlak dan hati.

Wallahua'lam.

Rabu, 22 Oktober 2008

IMAM ABU HANIFAH DAN ILMUAN KAFIR

Imam Abu Hanifah pernah bercerita : Ada seorang ilmuwan besar, Atheis dari kalangan bangsa Rom, tapi ia orang kafir. Ulama-ulama Islam membiarkan saja, kecuali seorang, yaitu Hammad guru Abu Hanifah, oleh kerana itu dia segan bila bertemu dengannya.

Pada suatu hari, manusia berkumpul di masjid, orang kafir itu naik mimbar dan mahu mengadakan tukar fikiran dengan sesiapa saja, dia hendak menyerang ulama-ulama Islam. Di antara shaf-shaf masjid bangunlah seorang laki-laki muda, dialah Abu Hanifah dan ketika sudah berada dekat depan mimbar, dia berkata: "Inilah saya, hendak tukar fikiran dengan tuan". Mata Abu Hanifah berusaha untuk menguasai suasana, namun dia tetap merendahkan diri kerana usia mudanya. Namun dia pun angkat berkata: "Katakan pendapat tuan!". Ilmuwan kafir itu heran akan keberanian Abu Hanifah, lalu bertanya:

Atheis : Pada tahun berapakah Rabbmu dilahirkan?
Abu Hanifah : Allah berfirman: "Dia (Allah) tidak dilahirkan dan tidak pula melahirkan"
Atheis : Masuk akalkah bila dikatakan bahawa Allah ada pertama yang tiada apa-apa sebelum-Nya?, Pada tahun berapa Dia ada?
Abu Hanifah : Dia berada sebelum adanya sesuatu.
Atheis : Kami mohon diberikan contoh yang lebih jelas dari kenyataan!
Abu Hanifah : Tahukah tuan tentang perhitungan?
Atheis : Ya.
Abu Hanifah : Angka berapa sebelum angka satu?
Atheis : Tidak ada angka (nol).
Abu Hanifah : Kalau sebelum angka satu tidak ada angka lain yang mendahuluinya, kenapa tuan heran kalau sebelum Allah Yang Maha satu yang hakiki tidak ada yang mendahuluiNya?

Atheis : Dimanakah Rabbmu berada sekarang?, sesuatu yang ada pasti ada tempatnya.
Abu Hanifah : Tahukah tuan bagaimana bentuk susu?, apakah di dalam susu itu keju?
Atheis : Ya, sudah tentu.
Abu Hanifah : Tolong perlihatkan kepadaku di mana, di bahagian mana tempatnya keju itu sekarang?
Atheis : Tak ada tempat yang khusus. Keju itu menyeluruh meliputi dan bercampur dengan susu diseluruh bahagian.
Abu Hanifah : Kalau keju makhluk itu tidak ada tempat khusus dalam susu tersebut, apakah layak tuan meminta kepadaku untuk menetapkan tempat Allah Ta'ala?, Dia tidak bertempat dan tidak ditempatkan!

Atheis : Tunjukkan kepada kami zat Rabbmu, apakah ia benda padat seperti besi, atau benda cair seperti air, atau menguap seperti gas?
Abu Hanifah : Pernahkan tuan mendampingi orang sakit yang akan meninggal?
Atheis : Ya, pernah.
Abu Hanifah : Sebelumnya ia berbicara dengan tuan dan menggerak-gerakan anggota tubuhnya. Lalu tiba-tiba diam tak bergerak, apa yang menimbulkan perubahan itu?
Atheis : Kerana rohnya telah meninggalkan tubuhnya.
Abu Hanifah : Apakah waktu keluarnya roh itu tuan masih ada disana?
Atheis : Ya, masih ada.
Abu Hanifah : Ceritakanlah kepadaku, apakah rohnya itu benda padat seperti besi, atau cair seperti air atau menguap seprti gas?
Atheis : Entahlah, kami tidak tahu.
Abu Hanifah : Kalau tuan tidak boleh mengetahui bagaimana zat mahupun bentuk roh yang hanya sebuah makhluk, bagaimana tuan boleh memaksaku untuk mengutarakan zat Allah Ta'ala?!!

Atheis : Ke arah manakah Allah sekarang menghadapkan wajahnya? Sebab segala sesuatu pasti mempunyai arah?
Abu Hanifah : Jika tuan menyalakan lampu di dalam gelap malam, ke arah manakah sinar lampu itu menghadap?
Atheis : Sinarnya menghadap ke seluruh arah dan penjuru.
Abu Hanifah : Kalau demikian halnya dengan lampu yang cuma buatan itu, bagaimana dengan Allah Ta'ala Pencipta langit dan bumi, sebab Dia nur cahaya langit dan bumi.

Atheis : Kalau ada orang masuk ke syurga itu ada awalnya, kenapa tidak ada akhirnya? Kenapa di syurga kekal selamanya?
Abu Hanifah : Perhitungan angka pun ada awalnya tetapi tidak ada akhirnya.
Atheis : Bagaimana kita boleh makan dan minum di syurga tanpa buang air kecil dan besar?
Abu Hanifah : Tuan sudah mempraktekkanya ketika tuan ada di perut ibu tuan. Hidup dan makan minum selama sembilan bulan, akan tetapi tidak pernah buang air kecil dan besar disana. Baru kita melakukan dua hajat tersebut setelah keluar beberapa saat ke dunia.
Atheis : Bagaimana kebaikan syurga akan bertambah dan tidak akan habis-habisnya jika dinafkahkan?
Abu Hanifah : Allah juga menciptakan sesuatu di dunia, yang bila dinafkahkan malah bertambah banyak, seperti ilmu. Semakin diberikan (disebarkan) ilmu kita semakin berkembang (bertambah) dan tidak berkurang.

Atheis : Tunjukkanlah bukti kewujudan Tuhanmu kalau memang Dia ada!
Abu Hanifah r.a berbisik kepada khadamnya agar mengambil tanah liat. Lalu dilemparkannya tanah liat itu ke arah ketua pemimpin orang atheis itu. Para hadirin gelisah melihat peristiwa itu, khuatir terjadi pergaduhan. Tetapi Abu Hanifah menjelaskan jawapan yang diminta kepadanya. Hal ini membuatkan orang atheis itu mengerutkan dahi.
Abu Hanifah : Apakah lemparan itu menimbulkan rasa sakit di kepala anda?
Atheis : Ya, tentu saja.
Abu Hanifah : Di mana letak sakitnya?
Atheis : Ya, ada lukanya ini.
Abu Hanifah : Tunjukkanlah kepadaku kalau sakitmu itu memang ada, baru aku akan menunjukkan kepadamu di mana adanya Tuhanku!.
Kaum atheis tidak dapat menjawab dan tentu saja tidak dapat menunjukkan rasa sakitnya kerana itu adalah suatu rasa ghaib tapi rasa sakit itu memang ada.
Atheis : Baik dan buruk sudah ditakdirkan sejak azali, tetapi kenapa ada pahala dan seksa?.
Abu Hanifah : Kalau anda sudah mengerti bahawa baik dan buruk itu bahagian dari takdir, mengapa anda kini menuntut aku agar dihukum kerana telah melempar tanah liat ke dahi anda?Bukankah perbuatanku itu sebahagian daripada takdir?.

"Ya! kalau segala sesuatu sudah ditakdirkan sebelum diciptakan, apa yang sedang Allah kerjakan sekarang?" tanya Atheis. "Tuan menjawab pertanyaan-pertanyaan saya dari atas mimbar, sedangkan saya menjawabnya dari atas lantai. Maka untuk menjawab pertanyaan tuan, saya mohon tuan turun dari atas mimbar dan saya akan menjawabnya di tempat tuan", pinta Abu Hanifah. Ilmuwan kafir itu turun dari mimbarnya, dan Abu Hanifah naik di atas. "Baiklah, sekarang saya akan menjawab pertanyaan tuan. Tuan bertanya apa pekerjaan Allah sekarang?". Ilmuwan kafir mengangguk. "Ada pekerjaan-Nya yang dijelaskan dan ada pula yang tidak dijelaskan. Pekerjaan-Nya sekarang ialah bahawa apabila di atas mimbar sedang berdiri seorang kafir yang tidak hak seperti tuan, Dia akan menurunkannya seperti sekarang, sedangkan apabila ada seorang mukmin di lantai yang berhak, dengan segera itu pula Dia akan mengangkatnya ke atas mimbar, demikian pekerjaan Allah setiap waktu". Para hadirin puas dengan jawaban yang diberikan oleh Abu Hanifah dan begitu pula dengan orang kafir itu.

Jumaat, 17 Oktober 2008

TOKOH ULAMA' KELANTAN

RASULULLAH S.A.W

IBU BAPA RASULULLAH SAW

Nasab sebelah bapa : Muhammad bin Abdullah bin Abdul Muttalib bin Hasyim bin Abdul Manaf bin Qusaiy bin Kilaab bin Murrah bin Ka'ab bin Luaiy bin Ghalib bin Fihr bin Malik bin an-Nadhr bin Kinanah bin Khuzaimah bin Mudrikah bin Ilyas bin Mudhar bin Nizar bin Ma'd bin Adnan.

Nasab yang sepakat di antara ahli tarikh hanyalah sehingga Adnan ini saja, ke atasnya menjadi perselisihan. Tetapi sepakat pula ahli tarikh mengesahkan bahawa Adnan itu keturunan Nabi Ibrahim al-Khalil. Yang jadi perselisihan ialah berapa orangkah nenek-nenek Baginda di antara Ismail dengan Adnan itu. Kata setengahnya banyaknya 40 orang, setengahnya pula mengatakan hanya 7 orang.

Berkata Abu Abdullah al-Hafiz : "Tentang berapakah bilangan nenek-nenek moyang Rasulullah SAW sejak dari Adnan menjelang Ismail dan Ibrahim itu tidaklah ada suatu riwayat yang muktamad."

Nasab sebelah ibu : Muhammad bin Aminah binti Abdul Wahab bin Abdul Manaf bin Zuhrah bin Hakim (Kilaab). Di sanalah pertemuan nasab ayahnya dengan nasab ibunya. 1

KELAHIRAN RASULULLAH SAW

Muhammad Rasulullah SAW dilahirkan di rumah Abu Thalib di dalam perkampungan Bani Hasyim di Makkah pada pagi-pagi hari Isnin dalam bulan Rabi'ul Awwal, tahun yang pertama dari tahun gajah yang masyhur, iaitu 40 tahun setelah Kisra Anusyirwan duduk di atas singgahsana Kerajaan Parsi, bersamaan dengan 20 atau 22 April tahun 571 Masihi, menurut perhitungan Mahmud Pasha, ahli falak Mesir yang masyhur itu. 1

Ibnu Saad meriwayatkan, bahawa ibu Rasulullah SAW berkata, "Setelah bayiku keluar, aku melihat cahaya yang keluar dari kemaluanku, menyinari istana-istana di Syam." Ahmad juga meriwayatkan dari al-Arbadh bin Sariyah, yang isinya serupa dengan perkataan tersebut.

Diriwayatkan bahawa ada beberapa bukti pendukung kerasulan yang berlaku bertepatan dengan saat kelahiran Rasulullah SAW, iaitu runtuhnya sepuluh balkon istana Kisra, dan padamnya api yang biasa disembah orang-orang Majusi serta runtuhnya beberapa gereja di sekitar Buhairah. Yang demikian ini diriwayatkan al-Baihaqi, sekalipun tidak diakui Muhammad al-Ghazali.

Setelah Rasulullah SAW dilahirkan, ibunya menyuruh orang suruhan ke rumah datuknya, Abdul Muthalib menyampaikan khabar sukacita itu. Maka Abdul Muthalib datang dengan perasaan suka cita, lalu membawa Baginda ke dalam Ka'bah, lalu berdoa kepada Allah dan bersyukur kepadaNya. Dia memilih nama Muhammad bagi Baginda. Nama ini belum pernah dipakai sebelum itu di kalangan Arab. Baginda dikhitan pada hari ketujuh, seperti yang biasa dilakukan orang-orang Arab.

Abdul Muthalib termasyhur sebagai kepala kaum yang disegani dalam Bani Hasyim, demikian juga dalam kaum Quraisy seluruhnya, lantaran pengaruhnya yang besar di dalam urusan peperangan, kekuasaan, hal-ehwal agama dan peraturan masyarakat pada masa itu.

Wanita pertama yang menyusui Baginda setelah ibunya adalah Tsuwaibah, hamba sahaya Abu Lahab, yang kebetulan sedang menyusui anaknya yang bernama Masruh, yang sebelum itu wanita ini juga menyusui Hamzah bin Abdul Muthalib. Setelah itu dia menyusui Abu Salamah bin Abdul-Asad

HALIMATUS SA'DIYYAH - IBU SUSU RASULULLAH SAW

Menurut adat Arab, anak itu tidak disusukan oleh ibunya sendiri jika dia orang terpandang, tetapi dicarikan seorang tukang menyusu dari kampung Badwi. Kerana kehidupan anak-anak itu di dusun boleh menguatkan tubuhnya dan memperbaiki lidahnya (melatih bahasa 'Arab), agar jangan kena 'hawa' kota. Menurut pendapat orang Arab, tukang susu atau tukang didik orang kota itu serupa dengan malam yang gelap gelita layaknya, menghabiskan pengharapan tentang hari kemudian anak-anak. Oleh itu, Abdul Muthalib pun mencari para wanita yang sesuai untuk menyusui Muhammad Rasulullah SAW.

Pada waktu itu, datanglah ke kota beberapa orang perempuan dari Badwi bani Sa'ad bin Bakr mencari anak-anak yang akan disusukan. Yang beruntung beroleh Muhammad ialah seorang perempuan bernama Halimah binti Abu Zu'aib bin al-Harits as-Sa'diyyah. Suaminya bernama al-Harits bin 'Abdul-Uzza, yang diberi gelaran Abu Kabsyah, berasal dari kabilah yang sama. Maka diterimanyalah anak kecil itu dari ibunya, lalu terus digendungnya ke kampungnya di Badwi Bani Sa'ad bin Bakr. Empat tahun lamanya anak itu di dalam asuhan Halimah. 1

Antara saudara-saudara Rasulullah SAW dari satu susuan di sana adalah Abdullah bin al-Harits, Anisah binti al-Harits, Hudzafah atau Judzamah binti Al-Harits. Bapa saudara Baginda, Hamzah bin Abdul Muthalib juga disusui di Bani Sa'ad. Suatu hari ibu susuan Rasulullah SAW ini juga pernah menyusui Hamzah semasa beliau masih dalam susuannya. Jadi Hamzah adalah saudara sesusuan Rasulullah SAW dari dua pihak, yaitu dari Tsuwaibah dan dari Halimah as-Sa'diyyah.

Ahli sirah telah sebulat suara mengatakan bahawa kampung bani Sa'ad ketika itu mengalami kemarau yang teruk. Sesampai sahaja Rasulullah SAW ke rumah Halimatus Sa'diyyah dan menyusu darinya ketika itu juga keadaan pun berubah. Kampung yang dulunya kering tandus mulai menghijau, kambing ternakan yang dahulu kelaparan kini bila kembali dari ladang ternakan kelihatan riang dan uncang-uncang susunya penuh dengan s

PEMBEDAHAN OLEH JIBRIL AS

Mengikut apa yang diriwayatkan oleh Muslim bahawa Rasulullah SAW telah dibedah perutnya semasa bersama bani Sa'ad. Ketika itu Baginda baru berusia lima tahun.

Peristiwa pembedahan perut Rasulullah SAW semasa Baginda tinggal bersama Halimatus Sa'diyyah merupakan salah satu tanda kenabian dan tanda pemilihan Allah SWT terhadapnya untuk sesuatu yang mulia.

Peristiwa ini telah diperihalkan dengan betul dan benar melalui beberapa orang sahabat. Antaranya Anas bin Malik RA. Perihalnya terdapat dalam kitab Hadith Muslim yang bermaksud:

Sesungguhnya Rasulullah SAW telah didatangi Jibril AS ketika Baginda sedang bermain-main dengan sekumpulan kanak-kanak. Jiibril AS telah merebahkan dan membelah betul-betul pada hati dan mengeluarkannya kemudian dikeluarkan seketul darah sambil berkata : Inilah sasaran syaitan ke hati engkau. Lepas itu dibasuhnya di dalam tas dari emas dengan air zam-zam barulah dimasukkan semula ke tempat asalnya dan kanak-kanak yang lain berkejaran lari menemui ibu penyusunya Halimah melaung-laung : Muhammad telah dibunuh dan mereka semua meluru ke arah Nabi Muahmmad dan didapati pucat lesu.

Hikmah Ilahi di sini bukanlah membuang buli-buli kejahatan. Allah SWT sahaja yang lebih mengetahui dari tubuh badan Rasulullah SAW kerana kalaulah di sana terdapat buli-buli kejahatan yang merupakan sumber kejahatan maka sudah tentu boleh diubah manusia jahat menjadi baik dengan cara pembedahan. Tetapi hikmat Ilahi yang jelas di sini ialah mengiklan dan mengisytiharkan kerasulan Baginda dan menjadikannya ma'sum dan mempersiapkan Baginda untuk menerima wahyu dari kecil lagi dengan cara yang boleh dilihat dengan mata kasar kerana dengan jalan ini membawa orang percaya dan beriman dengan risalah pengutusannya dengan mudah. Pembedahan tadi adalah pembersihan rohani dengan suatu cara yang boleh dinampakkan oleh pancaindera supaya ini menjadi canang Ilahi kepada manusia seluruhnya dengan boleh dilihat dan didengar.

Sebab yang membawa kita percayakan peristiwa pembedahan ialah kerana kebenaran dan sahnya cerita ini. Kalaulah perkara ini sudah jelas bak di tengahari maka tidak ada sebab-sebab yang boleh kita larikan dari kebenarannya. Tetapi bagi mereka yang lemah iman kepada Allah SWT perkara ini membawa kepada kelemahan iman mereka terhadap kenabian dan kerasulan Muhammad SAW. Orang seperti ini tidak ada bezanya sama ada mereka mengetahui atau tidak akan hikmah-hikmah Ilahi dan sebab-sebabnya. 2

KEWAFATAN AMINAH, IBU RASULULLAH SAW

Setelah Rasulullah SAW berada di bawah jagaan Halimatus Sa'diyyah selama empat tahun lamanya, anak itu dikembalikan kepada ibunya, Aminah. Menurut adat Arab, setiap tahun Aminah pergi menziarahi ke pusara suaminya dekat kota Madinah itu. Setelah Rasulullah SAW dikembalikan oleh Halimah, tidak berapa lama kemudian, pergilah dia berziarah ke pusara suaminya itu bersama-sama dengan anaknya yang masih dalam pangkuan itu, bersama-sama pula dengan budak pusaka ayahnya, seorang perempuan bernama Ummi Aiman.

Tetapi di dalam perjalanan pulang, Aminah ditimpa demam pula, lalu menemui ajalnya. Dia meninggal dan mayatnya dikuburkan di al-Abwa', suatu dusun di antara kota Madinah dengan Makkah. Anak yang malang itu pindahlah ke dalam gendungan Ummi Aiman. Dialah yang membawa anak itu balik ke Makkah. Anak itu kemudiannya diasuh dengan penuh kasih sayang oleh datuknya 'Abdul Muttalib.

Berkata Ibnu Ishak : "Maka adalah Rasulullah SAW itu hidup di dalam asuhan datuknya 'Abdul Muttalib bin Hasyim. Datuknya itu ada mempunyai suatu hamparan tempat duduk di bawah lindungan Ka'bah. itu. Anak-anaknya semuanya duduk di sekeliling hamparan itu. Kalau dia belum datang, tidak ada seorang pun anak-anaknya yang berani duduk dekat, lantaran amat hormat kepada orang tua itu.

Maka datanglah Rasulullah SAW, ketika itu dia masih kanak-kanak, dia duduk saja di atas hamparan itu. Maka datang pulalah anak-anak datuknya itu hendak mengambil tangannya menyuruhnya undur. Demi kelihatan oleh 'Abdul Muttalib, dia pun berkata : "Biarkan saja cucuku ini berbuat sekehendaknya. Demi Allah sesungguhnya dia kelak akan mempunyai kedudukan penting.' Lalu anak itu didudukkannya di dekatnya, dibarut-barutnya punggungnya dengan tangannya, disenangkannya hati anak itu dan dibiarkannya apa yang diperbuatnya." 1


Rasulullah SAW dijaga oleh 'Abdul Muttalib

Kewafatan datuk Rasulullah, Abdul Muttalib



PERJALANAN KE SYAM BERSAMA ABU THALIB

Dalam usia 12 tahun, bapa saudara Rasulullah SAW, Abu Thalib membawa bersama-samanya ke negeri Syam (Syria). Ketika mereka sampai di suatu tempat yang dikenali dengan "Basra", mereka telah bertemu dengan seorang paderi yang bernama Buhaira, seorang yang bijak mengenai Kitab Injil dan agama Nasrani.

Beliau memerhati Rasulullah SAW kemudian bertanya kepada Abu Thalib, katanya, "Budak ini anak tuan hambakah?" Lantas dijawab oleh Abu Thalib, "Ya, budak ini anakku." Oleh kerana Abu Thalib terlalu kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW sejak dahulu lagi, maka beliau menyebut-nyebut Baginda sebagai anaknya. Kemudian Buhaira menegaskan, "Bapa budak ini tidak mungkin masih hidup." Abu Thalib menjawab, "Sebenarnya budak ini anak saudaraku, bapanya meninggal ketika dia masih dalam perut ibunya."

Paderi tadi menambah, "Memang benar apa yang engkau ceritakan kerana segala-galanya tercatat dalam Injil dan di sini ingin saya memberi nasihat iaitu supaya segeralah engkau membawanya pulang sebab kalaulah ternampak oleh orang-orang Yahudi mereka akan mengancam nyawanya kerana anak saudaramu ini di masa muka nanti akan membawa suatu perkara besar dan agung." Maka Abu Thalib pun segeralah pulang ke Makkah bersama Rasulullah SAW. 2

TERLIBAT DALAM PEPERANGAN FIJAR

Pada waktu Rasulullah SAW masih muda belia, berkobarlah peperangan 'Fijar'. Fijar, ertinya peperangan yang melanggar akan kesucian bulan yang tidak boleh berperang padanya, lantaran bulan itu musim haji.

Yang berperang ialah kaum Quraisy bersama-sama dengan persukuan-persukuan yang mengikat perjanjian dengannya, menghadapi kaum Qais bersama dengan kabilah yang mengikat perjanjian dengannya pula. Peperangan ini terjadi di Nakhlah, di antara Makkah dengan Thaif. Yang menjadi kepala perang umum dari pasukan Quraisy ialah Harb bin Umaiyah, kerana namanya yang baik dan usianya yang telah lanjut. Dari bani 'Abdul Muttalib dikepalakan pula az-Zubair bin Abdul Muttalib.

Nabi pun hadir di dalam peperangan ini. Kerjanya ialah mengisikan panah kepada busur ketika akan dipanahkan oleh bapa-bapa saudaranya. 1

PERJALANAN KE SYAM KALI KEDUA

Khadijah binti Khuwailid al-Asadiyah merupakan seorang perempuan yang memegang perniagaan besar, bangsawan, bernama baik dan berharta. Biasanya dia menggaji orang untuk menjalankan perniagaan itu. Beliau juga terkenal dengan kemuliaan budi. Sebilangan besar orang-orang 'Arab pada masa itu meminjam sebahagian daripada hartanya itu sebagai modal perniagaan mereka.

Apabila Khadijah mendengar berita perihal peribadi Rasulullah SAW yang mulia dan mempunyai akhlaq yang terpuji itu, beliau terus mempelawa Rasulullah SAW supaya menjalankan usaha perniagaan dengan hartanya dan sanggup memberi keuntungan yang lebih daripada yang pernah diberikannya kepada orang lain. Untuk mengiringi Baginda dalam usaha perniagaan nanti Baginda akan dibantu oleh seorang budak suruhan Khadijah yang bernama Maisarah.

Tawaran itu telah diterima baik oleh Rasulullah SAW dengan penuh kerelaan hati. Baginda terus berangkat ke negeri Syam untuk menjalankan urusan perniagaan bersama Maisarah. Dalam perniagaan ini Baginda telah mendapat keuntungan yang berlipat ganda. Apabila Baginda kembali bertemu Khadijah dengan keuntungannya tadi, Baginda terus menyerahkan kepada Khadijah apa yang perlu dan patut diserahkan dengan penuh amanah. 2


PERKAHWINAN DENGAN SAYYIDATINA KHADIJAH

Semasa di Syam Maisarah telah melihat dengan mata kepalanya sendiri dan tertawan dengan budi pekerti Baginda yang mulia dan segala-galanya ini terus diceritakan kepada Khadijah. Khadijah sungguh tertawan dengan sifat amanah dan budi pekerti Baginda yang tinggi dan yang lebih menghairankan lagi ialah keuntungan yang berlebihan yang diperolehinya dengan berkat Baginda.

Dengan perantaraan Nafisah binti Manbah, Khadijah telah menawarkan dirinya kepada Rasulullah SAW untuk menjadi teman hidupnya yang halal. Tawarannya tadi telah disambut baik oleh Rasulullah SAW dan dengan tidak membuang masa, Baginda terus menyatakan hasrat hatinya yang mulia itu kepada bapa-bapa saudaranya dan mereka pun terus melamar Khadijah melalui bapa saudaranya 'Amru bin Asad.

Perkahwinan pun dilangsungkan dengan selamatnya. Maskahwinnya ialah 20 ekor unta muda. Pada waktu itu Rasulullah berusia genap 25 tahun sedangkan Khadijah telah berusia 40 tahun. 2

BERKHALWAT DI GUA HIRA'

Rasulullah SAW adalah seorang yang dihormati dan dipercayai di kalangan penduduk Makkah. Baginda begitu terkenal dengan akhlaq yang mulia dan sentiasa menghubungkan silaturrahim. Sikap dan peribadi Baginda yang mulia ini adalah begitu berbeza sekali dengan kebanyakan penduduk Makkah pada ketika itu yang tenggelam dalam lautan jahiliyyah.

Oleh kerana itu wajar sekali apabila Rasulullah SAW membiarkan dirinya berjalan sesuai dengan pembawaannya, iaitu pembawaan berfikir dan bermenung, dengan mendengarkan percakapan masyarakatnya tentang berhala-berhala, serta apa pula yang dikatakan orang-orang Nasrani dan Yahudi tentang diri mereka itu. Baginda berfikir dan merenungkan. Di kalangan masyarakatnya Bagindalah orang yang paling banyak berfikir dan merenung. Jiwa yang kuat dan berbakat ini - jiwa yang sudah mempunyai persiapan untuk kelak menyampaikan risalah Tuhan kepada umat manusia, serta membawa kepada kehidupan rohani yang hakiki - jiwa demikian tidak mungkin berdiam diri saja melihat manusia yang sudah hanyut ke dalam lembah kesesatan. Sudah seharusnya Baginda mencari petunjuk dalam alam semesta ini, sehingga Tuhan nanti menentukannya sebagai yang akan menerima risalahNya. Begitu besar dan kuatnya kecenderungan rohani yang ada padanya, Baginda tidak ingin menjadikan dirinya seperti dukun atau ingin menempatkan diri sebagai ahli fikir seperti dilakukan oleh Waraqa bin Naufal dan orang-orang sepertinya. Yang dicarinya hanyalah kebenaran semata-mata. Fikirannya penuh untuk itu, banyak sekali Baginda bermenung. Fikiran dan renungan yang berkecamuk dalam hatinya itu sedikit sekali dinyatakan kepada orang lain.

Sudah menjadi kebiasaan orang-orang 'Arab pada masa itu di mana golongan berfikir mereka selama beberapa waktu pada setiap tahun menjauhkan diri dari keramaian orang, berkhalwat dan mendekatkan diri kepada tuhan-tuhan mereka dengan bertapa dan berdoa, mengharapkan diberi rezeki dan pengetahuan. Pengasingan untuk beribadat seperti ini mereka namakan tahannuth.

Di puncak Gunung Hira',sejauh dua farsakh ( bahasa Farsi, parsang, ukuran panjang dahulu kala, kira-kira 3.5 batu atau hampir 6 km ) sebelah utara Makkah, terletak sebuah gua yang baik sekali dijadikan tempat menyendiri dan tahannuth. Sepanjang bulan Ramadhan setiap tahun Baginda pergi ke sana dan berdiam di tempat itu, cukup hanya dengan sedikit bekalan yang dibawanya. Baginda tekun dalam renungan dan ibadat, jauh dari segala kesibukan hidup dan keributan manusia. Baginda mencari kebenaran, dan hanya kebenaran semata.

Di tempat ini rupanya Rasulullah SAW mendapat tempat yang paling baik guna mendalami fikiran dan renungan yang berkecamuk dalam dirinya. Juga di tempat ini Baginda mendapatkan ketenangan dalam dirinya serta ubat penawar hasrat hati yang ingin menyendiri, ingin mencari jalan memenuhi kerinduannya yang selalu makin besar, ingin mencapai ma'rifat serta mengetahui rahsia alam semesta.

Demikian kuatnya Baginda merenung mencari hakikat kebenaran itu, sehingga Baginda lupa akan dirinya, lupa makan, lupa segala yang ada dalam hidup ini. Sebab segala yang dilihatnya dalam kehidupan manusia sekitarnya, bukanlah suatu kebenaran. Di situ Baginda mengungkapkan dalam kesedaran batinnya segala yang disedarinya. Tambah tidak suka lagi Baginda akan segala prasangka yang pernah dikejar-kejar orang.

Baginda tidak berharap kebenaran yang dicarinya itu akan terdapat dalam kisah-kisah lama atau dalam tulisan-tulisan para pendeta, melainkan dalam alam sekitarnya :dalam luasan langit dan bintang-bintang, dalam bulan dan matahari, dalam padang pasir di kala panas membakar di bawah sinar matahari yang berkilauan. Atau di kala langit yang jernih dan indah, bermandikan cahaya bulan dan bintang yang sedap dan lembut, atau dalam laut dan deburan ombak, dan dalam segala yang ada di sebalik itu, yang ada hubungannya dengan wujud ini, serta diliputi seluruh kesatuan wujud. Dalam alam itulah Baginda mencari haqiqat tertinggi. Dalam usaha mencapai itu, pada saat-saat Baginda menyendiri demikian jiwanya merasa bebas mencapai hubungan dengan alam semesta ini, menembusi tabir yang menyimpan semua rahsia. Baginda tidak memerlukan permenungan yang panjang untuk mengetahui bahawa apa yang dipraktikkan oleh masyarakatnya dalam soal-soal hidup dan apa yang disajikan sebagai korban-korban untuk tuhan-tuhan mereka itu, tidak membawa kebenaran sama sekali. Berhala-berhala yang tidak berguna, tidak menciptakan dan tidak pula mendatangkan rezeki, tidak dapat memberi perlindungan kepada sesiapapun yang ditimpa bahaya. Hubal, Lata dan 'Uzza, dan semua patung-patung dan berhala-berhala yang terpancang di dalam dan di sekitar Ka'bah, tidak pernah menciptakan, sekalipun seekor lalat, atau akan mendatangkan suatu kebaikan bagi Makkah.
Tetapi! Ah, di manakah kebenaran itu! Di mana kebenaran dalam alam semesta yang luas ini, luas dengan buminya, dengan lapisan-lapisan langit dan bintang-bintangnya? Adakah barangkali dalam bintang yang berkelip-kelip, yang memancarkan cahaya dan kehangatan kepada manusia, dari sana pula hujan diturunkan, sehingga kerananya manusia dan semua makhluk yang ada di muka bumi ini hidup dari air, dari cahaya dan kehangatan udara? Tidak! Bintang-bintang itu tidak lain adalah benda-benda langit seperti bumi ini juga. Atau barangkali di sebalik benda-benda itu terdapat kuasa yang tidak terbatas, tidak berkesudahan?

Tetapi apa kuasa itu? Apakah hidup yang kita alami sekarang dan esok akan berkesudahan? Apa asalnya dan apa sumbernya? Kebetulan sajakah bumi ini dijadikan dan dijadikan pula kita di dalamnya? Tetapi, baik bumi atau hidup ini sudah mempunyai ketentuan yang pasti yang tidak berubah-ubah, dan tidak mungkin dasarnya hanya kebetulan saja. Apakah yang dialami manusia, kebaikan atau keburukan, datang atas kehendak manusia sendiri, atau itu sudah ditentukan sehingga manusia tidak berkuasa memilih yang lain?

Masalah-masalah kejiwaan dan kerohanian sebegitu, itu juga yang difikirkan Rasulullah SAW selama Baginda mengasingkan diri dan bertafakur dalam Gua Hira'. Baginda ingin melihat kebenaran itu dan melihat hidup itu seluruhnya. Pemikirannya itu memenuhi jiwanya, memenuhi jantungnya, peribadinya dan seluruh wujudnya. Siang dan malam hal ini menderanya terus menerus. Apabila bulan Ramadhan sudah berlalu dan Baginda kembali kepada Khadijah, pengaruh fikiran yang masih membekas padanya membuatkan Khadijah menanyakannya selalu, karena dia pun ingin lega hatinya apabila sudah diketahuinya Baginda dalam keadaan sihat dan afiat.

Dalam melakukan ibadat selama dalam tahannuth itu, adakah Rasulullah SAW menganut sesuatu syari'at tertentu? Dalam hal ini ulama'-ulama' berlainan pendapat. Dalam Tarikhnya Ibnu Kathir menceritakan sedikit tentang pendapat-pendapat mereka mengenai syari'at yang digunakannya melakukan ibadat itu : Ada yang mengatakan menurut syari'at Nuh, ada yang mengatakan menurut Ibrahim, yang lain berkata menurut syari'at Musa, ada yang mengatakan menurut Isa dan ada pula yang mengatakan, yang lebih dapat dipastikan, bahawa Baginda menganut sesuatu syari'at dan diamalkannya. Barangkali pendapat yang terakhir ini lebih tepat daripada yang sebelumnya. Ini adalah sesuai dengan dasar renungan dan pemikiran yang menjadi kedambaan Baginda.

Tahun telah berganti tahun dan kini telah tiba pula bulan Ramadan. Rasulullah SAW pergi ke Gua Hira', Baginda kembali bermenung, sedikit demi sedikit Baginda bertambah matang, jiwanya pun semakin penuh. Sesudah beberapa tahun, jiwa yang terbawa oleh kebenaran tertinggi itu dalam tidurnya bertemu dengan mimpi haqiqi yang memancarkan cahaya kebenaran yang selama ini dicarinya. Bersamaan dengan itu pula dilihatnya hidup yang sia-sia, hidup tipu daya dengan segala macam kemewahan yang tiada berguna.

Ketika itulah Rasulullah SAW percaya bahawa masyarakatnya telah sesat daripada jalan yang benar, dan kehidupan kerohanian mereka telah rosak kerana tunduk kepada khayalan berhala-berhala serta kepercayaan-kepercayaan semacamnya yang tidak kurang pula sesatnya. Semua yang sudah pernah disebutkan oleh kaum Yahudi dan kaum Nasrani tidak dapat menolong mereka dari kesesatan itu. Apa yang disebutkan mereka itu masing-masing memang benar; tetapi masih mengandungi bermacam-macam tahyul dan pelbagai macam cara paganisma, yang tidak mungkin sejalan dengan kebenaran sejati, kebenaran mutlak yang sederhana, tidak mengenal segala macam spekulasi perdebatan kosong, yang menjadi pusat perhatian kedua-dua golongan Ahli Kitab itu. Dan kebenaran itu ialah Allah SWT, Khaliq seluruh alam, tidak ada Tuhan selain Dia. Kebenaran itu ialah Allah SWT Pemelihara semesta alam. Dialah Maha Rahman dan Maha Rahim. Kebenaran itu ialah bahawa manusia dinilai berdasarkan perbuatannya. "Barangsiapa mengerjakan kebaikan seberat atom pun akan dilihatNya. Dan barangsiapa mengerjakan kejahatan seberat atom pun akan dilihatNya pula." (Qur'an, 99:7-8). Dan bahawa syurga itu benar adanya dan neraka pun benar adanya. Mereka yang menyembah tuhan selain Allah SWT mereka itulah yang akan menghuni neraka, tempat tinggal dan kediaman yang paling durjana.

Kini Rasulullah SAW sudah menjelang usia empat puluh tahun. Baginda pergi ke Gua Hira' untuk melakukan tahannuth seperti selalunya. Jiwanya sudah penuh iman atas segala apa yang telah dilihatnya dalam mimpi haqiqi itu. Baginda telah membebaskan diri daripada segala kebatilan. Tuhan telah mendidiknya, dan didikannya baik sekali. Dengan sepenuh kalbu Baginda menghadapkan diri ke jalan yang lurus, kepada kebenaran yang abadi. Baginda telah menghadapkan diri kepada Allah SWT dengan seluruh jiwanya agar dapat memberikan hidayah dan bimbingan kepada masyarakatnya yang sedang hanyut dalam lembah kesesatan.

Dalam hasratnya menghadapkan diri itu Rasulullah SAW bangun di tengah malam, kalbu dan kesedarannya dinyalakan. Lama sekali Baginda berpuasa, dengan begitu renungannya dihidupkan. Kemudian Baginda turun dari gua itu, melangkah ke jalan-jalan di sahara. Lalu Baginda kembali ke tempatnya berkhalwat, hendak menguji apa yang berkecamuk dalam perasaannya itu, apa yang terlihat dalam mimpi itu? Hal seperti itu berjalan selama enam bulan, sampaikan Baginda merasa khuatir akan membawa akibat lain terhadap dirinya. Oleh kerana itu Baginda menyatakan rasa kekhuatirannya itu kepada Khadijah dan menceritakan apa yang telah dilihatnya. Baginda khuatir kalau-kalau itu adalah gangguan jin.

Tetapi isteri yang setia itu dapat menenteramkan hatinya. Dikatakannya bahawa Baginda adalah al-Amin, tidak mungkin jin akan mendekatinya, sekalipun memang tidak terlintas dalam fikiran isteri atau dalam fikiran suami itu, bahawa Allah SWT telah mempersiapkan pilihanNya itu dengan memberikan latihan rohani sedemikian rupa guna untuk menghadapi saat yang dahsyat, berita yang dahsyat, iaitu saat datangnya wahyu pertama. Dengan itu Baginda dipersiapkan untuk membawakan pesan dan risalah yang besar. 5



SIFAT DAN AKHLAQ RASULULLAH S.A.W

Diriwayatkan oleh Ya'kub bin al-Fasawy dari Hassan bin Ali r.a, dia berkata, "Pernah aku tanyakan kepada bapa saudaraku yang bernama Hindun bin Abi Haala kerana dia adalah seorang yang pandai sekali dalam menyifatkan tentang peribadi Rasulullah SAW, dan aku sangat senang sekali mendengarkan sifat Rasulullah SAW untuk aku jadikan bahan ingatan.

Maka katanya, "Rasulullah SAW adalah agung dan diagungkan, wajahnya berkilauan bagaikan bulan purnama, tingginya cukup (tidak pendek dan tidak jangkung), dadanya lebar (bidang), rambutnya selalu rapi dan terbelah di tengahnya, rambutnya panjang sampai pada hujung telinganya, dan berambut banyak, mukanya bergabung menjadi satu, di antara kedua alisnya ada urat yang dapat dilihat pada waktu Baginda sedang marah, hidungnya membungkuk di tengahnya dan kecil lubangnya, nampak sekali padanya cahaya, sehingga orang yang memperhatikannya mengira hidung Baginda itu tinggi (mancung). Janggutnya (jambang) lebat, bola matanya sangat hitam sekali, kedua pipinya lembut (halus), mulutnya tebal, giginya putih bersih dan jarang, pada dadanya tumbuh bulu halus, lehernya indah seperti berkilauan saja, bentuknya sedang, agak gemuk dan gesit (lincah), antara perut dan dadanya sama (tegak), dadanya lebar, di antara dua bahunya melebar, tulangnya besar, kulitnya bersih, antara dada sampai ke pusarnya ditumbuhi bulu halus seperti garis, pada kedua teteknya dan pada perutnya tidak ada bulu, sedangkan pada kedua hastanya dan kedua bahunya dan pada dadanya ditumbuhi bulu, lengannya panjang, telapaknya lebar, halus tulangnya, jari telapak kedua tangan dan kakinya tebal berisi daging, panjang hujung jarinya, rongga telapak kakinya tidak terkena tanah apabila Baginda sedang berjalan, kedua telapak kakinya lembut (licin) tidak ada lipatan dan kerutan. Apabila berjalan derapan kakinya itu terangkat tinggi seolah-olah air yang sedang jatuh (jalannya ringan, kakinya terangkat, tetapi tidak seperti jalannya orang yang sombong), jalannya tunduk dan menunjukkan kehebatan, apabila berjalan, maka jalannya agak cepat bagaikan dia turun dari tempat yang tinggi, apabila menoleh, Baginda menolehkan seluruh badannya, matanya selalu tertunduk ke bawah, dan pandangannya sentiasa memperhatikan sesuatu dengan bersungguh-sungguh, selalu berjalan dengan para sahabatnya, dan selalu memulai dengan salam apabila Baginda berjumpa dengan sesiapa pun."


KEBIASAAN RASULULLAH SAW

Kataku selanjutnya, "Terangkanlah kepadaku tentang kebiasaannya." Maka katanya, "Keadaan peribadi Rasulullah SAW itu biasanya tampak selalu kelihatan seolah-olah selalu berfikir, tidak pernah mengecap istirehat walau sedikit pun, tidak berbicara kecuali hanya apabila perlu, sentiasa diam, selalu memulai berbicara dan menutupnya dengan sepenuh mulutnya (jelas), apabila sedang berbicara Baginda selalu memakai kalimat-kalimat yang banyak ertinya (bijaksana), pembicaraannya itu jelas tanpa berlebihan ataupun kurang, lemah lembut budi pekertinya, tidak kasar, tetapi bukannya rendah, selalu mengagungkan nikmat Allah SAW walaupun yang sekecil-kecilnya dan tidak pernah mencelaNya sedikit pun. Apabila ada orang yang memperkosa kebenaran, maka Baginda akan marah-marah dengan sangat dan tidak ada seorang pun yang dapat menghalangi kemarahannya itu sampai kebenaran itu akan menang. (Dan dalam riwayat lain disebutkan, bahawa Baginda tidak pernah marah apabila berkenaan dengan urusan keduniaan, tetapi apabila ada sesuatu yang benar sedang diperkosa maka Baginda akan marah sehingga tidak akan memandang sesiapa pun juga dan tidak akan ada yang dapat menghalangi kemarahannya itu sampai kebenaran itu menang, dan tidak pernah marah kerana dirinya). Apabila Baginda sedang memberikan isyarat (menunjuk), maka Baginda mengisyaratkan dengan seluruh telapak tangannya, apabila sedang takjub pada sesuatu maka Baginda balikkan telapak tangannya, apabila Baginda sedang berbicara maka sering Baginda memukulkan telapak tangannya yang kanan pada ibu jari tangan kirinya, apabila sedang marah maka sering Baginda berpaling. Apabila sedang bergembira Baginda sering tersenyum (ketawa), apabila tertawa Baginda sentiasa tersenyum saja, dan senyumannya itu serupa dengan embun yang dingin.

Maka kata Hassan berita ini aku sembunyikan dan adikku ternyata sudah lebih dahulu mengetahuinya daripadaku dan malahan dia sendiri telah bertanya pada ayahnya tentang keadaan keluar masuknya Rasulullah SAW ke majlisnya, dan bentuknya pun tidak juga ketinggalan sedikitpun jua." Kata Hasan, "Maka aku pun pernah bertanya tentang peribadi Rasullullah SAW dan dia pun menjawab, "Bahawa Rasulullah SAW apabila telah masuk ke rumahnya, Baginda membahagi waktunya menjadi tiga bahagian. Sebahagian untuk Allah SWT, sebahagian lagi untuk keluarganya dan sebahagiannya yang lain untuk dirinya sendiri. Kemudian bahagian untuk dirinya itu dibahagikan pula untuk kepentingannya sendiri dan untuk kepentingan orang lain. Baginda selalu mengutamakan kepentingan umum lebih dari kepentingan peribadinya sendiri, Baginda tidak pernah mengurangi hak mereka sedikit pun. Adapun contoh dari sirahnya berkenaan dengan kepentingan umat, adalah bahawa Baginda lebih mengutamakan orang-orang yang mulia dengan segala kesopanan dan menurut kedudukannya dalam ketakwaan. Sebahagian daripada mereka ada yang mempunyai satu kepentingan, ada pula yang mempunyai dua kepentingan, dan ada pula yang mempunyai banyak keperluan. Untuk itu Baginda menyibukkan dirinya dengan mereka dan mengatur mereka demi untuk kepentingan mereka dan sekalian umat dari urusannya tadi. Baginda sibuk dengan memberitahu kepada mereka apa yang harus dikerjakan, dengan memesankan : Hendaknya orang yang kini hadir mengkhabarkan kepada mereka yang tidak hadir, dan sampaikanlah hajatnya orang yang tidak dapat berjumpa denganku, kerana sesungguhnya barangsiapa yang menyampaikan hajatnya seseorang yang tidak mampu untuk bertemu dengan seorang pemimpin, maka Allah SWT akan menetapkan kaki orang itu kelak pada hari kiamat. Para pengunjung yang datang itu tidak keluar kecuali setelah mereka mengerti segala masalah dan dalilnya."


RASULULLAH SAW APABILA DI LUAR

Kata Hassan selanjutnya, "Kemudian aku tanyakan kepada ayahku bagaimanakah keadaan Rasulullah SAW apabila berada di luar. Maka jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa menjaga lidahnya kecuali hanya untuk berbicara seperlunya, apabila berbicara sentiasa berbicara dengan halus (lemah-lembut) dan tidak pernah berbicara dengan kasar terhadap mereka, dan sentiasa memuliakan terhadap orang yang terpandang (berkedudukan) dan memperingatkan orang jangan sampai ada yang bertindak menyinggung perasaannya dan perbuatannya. Kebiasaan Baginda selalu menanyakan keadaan sahabat-sahabatnya, dan Baginda selalu memuji segala sesuatu yang baik dan membenci segala sesuatu yang buruk. Segala urusannya itu dibuatnya sebaik mungkin. Tidak pernah Baginda lalai atau malas, demi menjaga jangan sampai mereka melalaikan dan meremehkan. Segala sesuatu dipersiapkannya terlebih dahulu, dan tidak pernah akan meremehkan (mengecilkan) kebenaran. Orang yang paling terpandang menurut Rasulullah SAW ialah mereka yang paling baik kelakuannya, orang yang paling mulia ialah mereka yang paling banyak bernasihat (memberikan petunjuk) kepada orang lain, dan orang yang paling tinggi sekali kedudukannya ialah orang yang selalu ramah-tamah dan yang paling banyak menolong orang lain.".


RASULULLAH SAW APABILA DUDUK

Kata Hasan, "Kemudian aku tanyakan tentang duduknya Rasulullah SAW. Jawabnya, "Kebiasaan Rasulullah SAW tidak pernah duduk ataupun berdiri melainkan dengan berzikir, tidak pernah menguasai tempat duduk dan Baginda melarang seseorang untuk menguasai tempat duduk, dan apabila Baginda sampai pada tempat orang yang sedang berkumpul maka Baginda duduk di mana ada tempat terluang (tidak pernah mengusir orang lain dari tempat duduknya) dan Baginda juga menyuruh berbuat seperti itu. Baginda selalu memberikan kepuasan bagi sesiapa saja yang duduk bersama Baginda, sehingga jangan sampai ada orang yang merasa bahawa orang lain dimuliakan oleh Baginda lebih daripadanya. Apabila ada yang duduk di majlisnya, Baginda selalu bersabar sampai orang itu yang akan bangkit terlebih dahulu (tidak pernah mengusir teman duduknya). Dan apabila ada yang meminta pada Baginda sesuatu hajat maka Baginda selalu memenuhi permintaan orang itu, atau apabila tidak dapat memenuhinya Baginda selalu berkata kepada orang itu dengan perkataan yang baik. Semua orang selalu puas dengan budi pekerti Baginda sehingga mereka selalu dianggap sebagai anak Baginda dalam kebenaran dengan tidak ada perbezaan sekikit pun di antara mereka dalam pandangan Baginda. Kemudian majlis Baginda itu adalah tempatnya orang yang ramah-tamah, malu, orang sabar dan menjaga amanah, tidak pernah di majlisnya itu ada yang mengeraskan suaranya, di majlisnya itu tidak akan ada yang mencela seseorang jelek dan tidak akan ada yang menyiarkan kejahatan orang lain. Di majlisnya itu mereka selalu sama rata, yang dilebihkan hanya ketakwaan saja, mereka saling berlaku rendah diri (bertawadhu') sesama mereka, yang tua selalu dihormati dan yang muda selalu disayangi, sedangkan orang yang punya hajat lebih diutamakan (didahulukan) dan orang-orang asing (ghorib) selalu dimuliakan dan dijaga perasaannya."


RASULULLAH SAW DI TENGAH PARA SAHABAT

Kata Hassan, "Maka aku tanyakan tentang keadaannya apabila Baginda sedang berada di tengah-tengah para sahabatnya. Jawabnya, "Rasulullah SAW sentiasa periang (gembira), budi pekertinya baik, sentiasa ramah-tamah, tidak kasar mahupun bengis terhadap seesorang, tidak suka berteriak-teriak, tidak suka perbuatan yang keji, tidak suka mencaci, dan tidak suka bergurau (olok-olokan), selalu melupakan apa yang tidak disukainya, dan tidak pernah menolak permintaan seseorang yang meminta. Baginda meninggalkan tiga macam perbuatan : Baginda tidak mahu mencela seseorang atau menjelekkannya, dan tidak pernah mencari-cari kesalahan seseorang, dan tidak akan berbicara kecuali yang baik saja (yang berfaedah). Namun apabila Baginda sedang berbicara maka pembicaraannya itu akan membuat orang yang ada di sisinya menjadi tunduk, seolah-olah di atas kepala mereka itu ada burung yang hinggap. Apabila Baginda sedang berbicara maka yang lain diam mendengarkan, namun apabila diam maka yang lain berbicara, tidak ada yang berani di majlisnya untuk merosakkan (memutuskan) pembicaraan Baginda. Baginda sentiasa ikut tersenyum apabila sahabatnya tersenyum (tertawa), dan ikut juga takjub (hairan) apabila mereka itu merasa takjub pada sesuatu, dan Baginda sentiasa bersabar apabila menghadapi seorang baru (asing) yang atau dalam permintaannya sebagaimana sering terjadi. Baginda bersabda, "Apabila kamu melihat ada orang yang berhajat maka tolonglah orang itu, dan Baginda tidak mahu menerima pujian orang lain kecuali dengan sepantasnya, dan Baginda tidak pernah memotong pembicaraan orang lain sampai orang itu sendiri yang berhenti dan berdiri meninggalkannya."


RASULULLAH SAW APABILA DIAM

Kata Hassan, "Selanjutnya aku tanyakan padanya bagaimanakah peribadi Rasulullah SAW apabila Baginda diam. Jawabnya, "Diamnya Rassulullah SAW terbahagi dalam empat keadaan : diam kerana berlaku santun, diam kerana selalu berhati-hati, diam untuk mempertimbangkan sesuatu dan diam kerana sedang berfikir. Adapun pertimbangannya berlaku untuk mempertimbangkan pendapat orang lain serta mendengarkan pembicaraan orang lain, sedangkan pemikirannya selalu tertuju pada segala sesuatu yang akan kekal dan sesuatu yang akan lenyap (fana'). Peribadi Rasulullah sAW sentiasa berlaku santun dan sabar dan Baginda tidak pernah membuat kemarahan seseorang dan tidak pernah membuat seseorang membencinya, dan Baginda sentiasa berlaku hati-hati dalam segala perkara; selalu suka pada kebaikan, dan berbuat sekuat tenaga untuk kepentingan dan demi kebaikan mereka itu baik di dunia mahupun kelak di akhirat." 3



ISTERI-ISTERI RASULULLAH SAW

1. Khadijah binti Khuwailid

Sayyidatina Khadijah adalah seorang perempuan bangsawan Quraisy dan seorang hartawan. Ketika berkahwin dengan Rasulullah SAW, dia berusia 40 tahun dan Baginda ketika itu berusia 25 tahun. Selama bersama Khadijah, Rasulullah SAW tidak pernah berkahwin dengan perempuan lain sehinggalah Khadijah meninggal dunia ketika berusia 65 tahun pada tahun ke 10 kerasulan.

Hasil daripada perkahwinan ini Rasulullah SAW dikurniakan 6 orang anak, dua orang putera dan empat orang puteri.


2. Saudah binti Zam’ah

Sayyidatina Saudah adalah salah seorang perempuan yang terawal yang memeluk Islam. Beliau dan suaminya termasuk dalam rombongan yang diperintahkan Rasulullah SAW berhijrah ke Habsyah. Suaminya Sakram bin 'Amir meninggal dunia sekembalinya mereka dari Habsyah. Bagi melindungi dan menolongnya daripada penderitaan dan fitnah, Rasulullah SAW mengahwininya pada tahun wafatnya Sayyidatina Khadijah.


3. 'Aisyah binti Abu Bakar

Pertunangan Rasulullah SAW dengan Sayyidatina 'Aisyah berlangsung di Makkah setelah sebulan dari perkahwinan Baginda dengan Sayyidatina Saudah dan perkahwinannya pula berlangsung pada tahun pertama Hijrah.

Pada hakikatnya perkahwinan ini adalah atas keinginan ayahanda Sayyidatina 'Aisyah iaitu Abu Bakar, selain untuk memenuhi harapan Rasulullah SAW yang menginginkan adanya seorang wanita yang dapat menyampaikan ajaran-ajaran Baginda. Kenyataannya Sayyidatina 'Aisyah memang seorang yang cepat dan cerdas dalam memahami ajaran-ajaran Rasulullah SAW dan pandai serta ahli tentang hukum-hukum Islam.


4. Hafsah binti Umar

Sayyidatina Hafsah adalah puteri ‘Umar bin Khattab r.a dan juga bekas isteri salah seorang sahabat yang syahid dalam perang Badar. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, 'Umar pernah menawarkan puterinya itu kepada Abu Bakar r.a dan 'Uthman bin Affan r.a, namun kedua-dua mereka menolak. Maka untuk menggembirakan hati 'Umar, Rasulullah SAW mengahwininya.


5. Zainab binti Khuzaimah

Sejak zaman jahiliah, Zainab terkenal sebagai seorang perempuan yang penyayang, pemurah dan budiman terutama kepada orang-orang miskin sehingga dia mendapat nama julukan "Ummul Masaakin" (ibu orang-orang miskin).

Sayyidatina Zainab adalah isteri Baginda yang keempat sesudah Saudah. Beliau wafat selang beberapa bulan sesudah perkahwinannya dengan Rasulullah SAW.

6. Hindun binti Abi Umaijah

Beliau juga digelar Ummu Salamah kerana mempunyai anak yang bernama Salamah hasil perkahwinannya dengan sahabat 'Abdullah bin 'Abdul Asad yang syahid ketika memimpin suatu petempuran.

Menurut sesetengah riwayat pada waktu Rasulullah SAW melamar Ummu Salamah, beliau menjawab, "Aku ini seorang perempuan yang sudah tua, menjadi ibu kepada anak-anak yatim dan saya sangat cemburu". Kata-kata itu disambut oleh Rasulullah SAW dengan menjawab, "Tentang perkataanmu : aku ini seorang perempuan yang sudah tua, aku jawab : aku lebih tua daripada kamu dan tidak akan tercela seorang yang kahwin dengan seorang laki-laki yang lebih tua daripadanya. Tentang perkataanmu : aku ini menjadi ibu anak-anak yatim, aku jawab : anak-anak yatim itu tanggungan Allah dan RasulNya. Tentang perkataanmu : aku ini seorang perempuan yang sangat cemburu, aku jawab : aku doakan kepada Allah mudah-mudahan Dia melenyapkan sifat yang demikian daripadamu".

7. Zainab binti Jahsy
Zainab adalah bekas isteri Zaid bin Harithah (bekas budak dan merupakan anak angkat Rasulullah SAW). Zaid menceraikan Zainab kerana tidak tahan dengan sikapnya yang sering membanggakan keturunan dan sering merendahkan darjat suaminya.

Perkahwinan Rasulullah SAW dengan Zainab menghapuskan adat kebiasaan bangsa 'Arab yang menyamakan anak angkat dengan anak sendiri dari segi hak keturunan, hak warisan dan sebagainya. Perkahwinan ini berlangsung pada bulan Zulkaedah tahun ke 5 Hijrah.


8. Juwairiyah binti Harith

Beliau adalah salah seorang dari tawanan perang tentera muslimin dengan Bani Musthaliq, puteri kepada Harith bin Dhirar, ketua suku tersebut. Dia mendapatkan Rasulullah SAW untuk meminta pertolongan agar diperkenankan membayar tebusan untuk dirinya agar dimerdekakan. Baginda bersedia membayar tebusan dan mengahwininya.

Apabila beliau memeluk Islam dan berkahwin dengan Rasulullah SAW, lebih kurang 100 orang tawanan Bani Musthaliq dibebaskan oleh kaum muslimin kerana tidak mahu memperhambakan orang yang mempunyai tali perkahwinan dengan Baginda. Akhirnya mereka yang dibebaskan ini memeluk Islam. 'Aisyah pernah berkata, "Saya belum pernah mengetahui seorang perempuan yang banyak berkat kebaikannya kepada kaumnya lebih dari Juwairiyah".


9. Safiyyah binti Hujaj

Safiyyah adalah anak ketua Yahudi Bani Nadhir, Hujaj bin Akhtab. Beliau turut menjadi salah seorang tawanan dalam penaklukan Kota Khaibar. Suaminya terbunuh dalam peristiwa penaklukan itu. Safiyyah diserahkan kepada Rasulullah SAW, memandangkan dia adalah seorang puteri dari ketua Bani Nadhir. Dia dimerdekakan dan dikahwini oleh Baginda. Perkahwinan ini berlaku ketika tentera muslimin masih berada di Khaibar.


10. Ramlah binti Abu Sufian
Beliau adalah puteri Abu Sufian bin Harb dan isteri Abdullah bin Jahsy, pernah berhijrah ke Habsyah bersama suaminya. Sampai di sana suaminya masuk agama Nasrani dan dia diceraikan. Memandangkan orang tuanya yang masih musyrik dan suaminya yang telah bertukar agama, Rasulullah SAW mengirimkan seorang utusan kepada Raja Najasyi meminta dia meminang Ramlah bagi pihak Baginda. Raja Najasyi sendiri memberikan maskahwinnya. Perkahwinan ini berlaku pada tahun ke 6 Hijrah, ketika itu usia Ramlah lebih kurang 30 tahun. Setelah itu Raja Najasyi mengirimkan Ramlah mengadap Rasulullah SAW di Madinah pada tahun ke 7 hijrah. Dia wafat pada tahun ke 42 Hijrah ketika berusia lebih kurang 60 tahun.


11. Maimunah binti Al-Harits
Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, beliau bernama Barrah. Baginda mengahwininya ketika Baginda baru saja selesai mengerjakan "Umrah al Qadha" di Mekah. Perkahwinan dengan Maimunah adalah perkahwinan Rasulullah SAW yang terakhir. Dia wafat pada tahun ke 63 hijrah dalam usia lebih kurang 80 tahun. 4

HADIS-HADIS YANG MEWAJIBKAN MENYIMPAN JANGGUT

Antara hadith-hadith sahih dari Nabi s.a.w yang menunjukkan wajibnya memelihara janggut dan jambang kemudian mewajibkan orang-orang lelaki beriman supaya memotong atau menipiskan misai mereka serta pengharaman dari mencukur atau memotong janggut mereka ialah:

"Abdullah bin Umar berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin, peliharalah janggut kamu dan tipiskanlah misai (kumis) kamu". H/R al Bukhari, Muslim dan al Baihaqi.

"Dari Abi Imamah : Bersabda Rasulullah s.a.w : Potonglah misai kamu dan peliharalah janggut kamu, tinggalkan (jangan meniru) Ahl al-Kitab". Hadith sahih, H/R Ahmad dan at Tabrani.

"Dari Aisyah berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : Sepuluh perkara dari fitrah (dari sunnah nabi-nabi) di antaranya ialah mencukur misai dan memelihara janggut". H/R Ahmad, Muslim, Abu Daud, at Turmizi, an Nasaii dan Ibn Majah.

Bagi individu yang menjiwai hadith di atas pasti mampu memahami bahawa Nabi Muhammad s.a.w melarang setiap mukmin dari meniru atau menyerupai suluk (tatacara) orang-orang kafir sama ada dari golongan Yahudi, Nasrani, Majusi atau munafik. Antara penyerupaan yang dilarang oleh baginda ialah berupa pengharaman ke atas setiap orang lelaki yang beriman dari mencukur janggut dan jambang mereka. Kemudian baginda melarang pula dari memelihara misai (kumis) kerana dengan memelihara misai kemudian mencukur janggut telah menyerupai perbuatan semua golongan orang-orang kafir. Antara motif utama dari larangan baginda itu ialah agar orang-orang yang beriman dapat mengekalkan sunnah supaya tidak mudah pupus di samping mengharamkan setiap orang yang beriman dari meniru tata-etika, amalan dan tata-cara orang-orang kafir atau jahiliah.

Larangan yang berupa penegasan dari syara ini telah dijelaskan oleh Nabi Muhammad s.a.w melalui hadith-hadith baginda. Terlalu sukar untuk ditolak atau dinafikan tentang pengharaman mencukur janggut ini kerana terlalu banyak hadith-hadith sahih yang telah membuktikannya dengan terang tentang pengharaman tersebut.

Memang tidak dapat diragukan, antara penyerupaan yang diharamkan oleh Nabi Muhammad s.a.w ialah meniru perbuatan orang-orang kafir yang kebanyakan dari mereka lebih gemar mencukur janggut dan jambang mereka kemudian membiarkan (memelihara) misai mereka sebagai hiasan. Ketegasan larangan mencukur janggut yang membawa kepada penyerupaan masih dapat difahami melalui hadith-hadith baginda yang seterusnya sebagaimana di bawah ini:

"Dari Ibn Umar ra berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : Sesiapa yang menyerupai satu satu kaum, maka ia telah menjadi golongan mereka". H/R Ahmad, Abu Daud dan at Tabrani.

"Dari Abi Hurairah ra : Bersabda Rasulullah s.a.w : Bahawasanya ahli syirik memelihara misainya dan memotong janggutnya, maka janganlah meniru mereka, peliharalah janggut kamu dan potonglah misai kamu". H/R al Bazzar.

"Bersabda Rasulullah s.a.w : Janganlah kamu meniru (menyerupai) orang-orang Majusi (penyembah berhala) kerana mereka itu memotong (mencukur) janggut mereka dan memanjangkan (memelihara) misai mereka". H/R Muslim.

"Tipiskanlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu. Di riwayat yang lain pula : Potonglah misai kamu dan peliharalah janggut kamu". H/R al Bukhari.

Dari Abi Hurairah berkata : Telah bersabda Rasulullah s.a.w : Di antara fitrah dalam Islam ialah memotong misai dan memelihara janggut, bahawasanya orang-orang Majusi memelihara misai mereka dan memotong janggut mereka, maka janganlah kamu menyerupai mereka, hendaklah kamu potong misai kamu dan peliharalah janggut kamu". H/R Ibn Habban.

"Dari Abdullah bin Umar berkata : Pernah disebut kepada Rasulullah s.a.w seorang Majusi maka beliau bersabda : Mereka (orang-orang Majusi) memelihara misai mereka dan mencukur janggut mereka, maka (janganlah menyerupai cara mereka) tinggalkan cara mereka". H/R al Baihaqi.

"Dari Ibn Umar ra berkata : Kami diperintah supaya memelihara janggut". H/R Muslim.

"Dari Abi Hurairah : Bersabda Rasulullah s.a.w : Cukurlah misai kamu dan peliharalah janggut kamu". H/R Muslim.

"Dari Abi Hurairah berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : Peliharalah janggut kamu dan cukurlah misai kamu, janganlah kamu meniru (menyerupai) Yahudi dan Nasrani". H/R Ahmad.

"Dari Ibn Abbas berkata : Bersabda Rasulullah s.a.w : Janganlah kamu meniru (menyerupai) Ajam (orang asing dan kafir), maka peliharalah janggut kamu". H/R al Bazzar.

Jumhur ulama (ulama tafsir, hadith dan fiqah) menegaskan bahawa suruhan yang terdapat pada hadith-hadith (tentang janggut) adalah menunjukkan suruhan yang wajib bukan sunnah kerana ia menggunakan lafaz atau kalimah (���� �����) : "nada (gaya) suruhan" yang tegas, jelas (dan diulang-ulang). Lihat : (����� ������) Adib Saleh. Jld. 2 m/s 241.

Larangan Nabi Muhammad s.a.w agar orang-orang yang beriman tidak mencukur janggut mereka dan tidak menyerupai Yahudi, Nasrani atau Majusi telah dilahirkan oleh baginda melalui sabdanya dengan beberapa gaya bahasa dan ungkapan yang jelas, terang dan tegas. Sebagaimana hadith-hadith sahih di bawah ini:

"Janganlah kamu menyerupai orang-orang Musyrikin, peliharalah janggut kamu". H/R al-Bukhari dan Muslim.

"Tinggalkan cara mereka (jangan meniru orang-orang musyrik) peliharalah janggut kamu dan cukurlah misai kamu". H/R al-Bazzar.

"Tinggalkan cara Majusi (jangan meniru Majusi)". H/R Muslim.

"Dan janganlah kamu sekalian menyerupai Yahudi dan Nasrani". H/R Ahmad.

"Janganlah kamu sekalian menyerupai orang-orang yang bukan Islam, peliharalah janggut kamu". H/R al-Bazzar.

Hadith-hadith di atas amat jelas menunjukkan bahawa Nabi Muhammad s.a.w telah mewajibkan kepada setiap orang-orang yang beriman agar memelihara janggut mereka kemudian memotong atau menipiskin misai mereka. Di samping itu mengharamkan mereka dari meniru perbuatan orang-orang kafir, sama ada golongan Yahudi, Nasrani, Majusi, munafik atau orang fasiq yang mengingkari surahan dan melanggar larangan yang terdapat di dalam hadith-hadith sahih tentang janggut dan penyerupaan sebagaimana kenyataan dari hadith-hadith sahih di atas tadi.

Begitu juga jika diteliti beberapa hadith di atas, maka antara ketegasan hadith tersebut ialah melarang orang-orang beriman dari meniru (menyerupai) perbuatan, amalan atau tingkah laku golongan Yahudi, Nasrani, Majusi dan semua orang-orang kafir, iaitu peniruan yang dilakukan dengan cara memotong (mencukur) janggut dan kemudian memelihara pula misai (kumis). Amat jelas dalam setiap hadith di atas suruhan atau perintah dari Nabi Muhammad s.a.w agar orang-orang yang beriman memelihara janggut mereka kemudian memotong atau menipiskan misai mereka. Antara tujuan suruhan tersebut ialah supaya orang-orang yang beriman tidak menyerupai golongan orang-orang kafir tidak kira apa jenis kekafiran mereka. Nabi telah memberi peringatan melalui hadith-hadith sahihnya kepada sesiapa yang melanggar dan mengabaikan perintah syara termauklah memelihara janggut.

Hadith dari Ibn Umar yang diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud dan Tabrani yang telah dikemukakan di atas, perlu dijiwai dan dicernakan di hati setiap mukmin agar sentiasa menjadi panduan dan perisai untuk memantapkan pegangan (istiqamah) dalam memelihara hukum berjanggut. Hadith yang dimaksudkan ialah:

"Dari Ibn Umar ra berkata : Sesiapa yang menyerupai satu satu kaum, maka dia telah tergolong (agama) kaum itu".

H/R Ahmad, Abu Daud dan at Tabrani. Menurut keterangan al-Hafiz al-Iraqi dalam (����� �������) bahawa sanad hadith ini sahih.

Kesahihan hadith di atas dapat memberi keyakinan dan penerangan bahawa sesiapa yang meniru atau menjadikan orang-orang jahiliah sama ada dari kalanganYahudi, Nasrani atau Majusi sebagai contoh dan mengenepikan amalan yang telah ditetapkan oleh agama Islam yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w, maka peniru tersebut akan tetap menjadi golongan kafir yang ditiru selagi tidak bertaubat malah akan terus bersama mereka sehinggalah di akhirat. Kesahihan ini dapat dikuat dan dipastikan lagi dengan hadith sahih di bawah ini:

"Tiga jenis manusia yang dibenci oleh Allah (antara mereka) ialah penganut Islam yang masih memilih (meniru) perbuatan jahiliah". H/R al-Bukhari.

Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar, Nabi Muhammad s.a.w telah bersabda: "Sesiapa yang meniru (menyerupai) seperti mereka (orang-orang bukan Islam) sehingga ia mati, maka ia telah termasuk dalam golongan (mereka sehingga ke akhirat)".

Memelihara janggut adalah fitrah Islamiyah yang diamalkan oleh semua nabi-nabi, rasul-rasul a.s, para sahabat dan orang-orang yang soleh. Pengertian fitrah Islamiyah boleh difahami dari apa yang telah dijelaskan oleh Imam as Suyuti di dalam kitabnya:

"Sebaik-baik pengertian tentang fitrah boleh dikatakan bahawa ia adalah perbuatan mulia dipilih dan dilakukan oleh para nabi-nabi dan dipersetujui oleh syara sehingga menjadi seperti satu kemestian ke atasnya".

Sirah atau sejarah semua rasul-rasul dan nabi-nabi sehinggalah ke sirah Nabi Muhammad s.a.w serta tarikh semua para sahabat terutama Khulafa ar Rasyidin telah didedahkan kepada kita bahawa mereka semua didapati memelihara janggut kerana mengimani dan mentaati setiap perintah agama dan berpegang kepada fitrah yang diturunkan kepada rasul yang diutus untuk mendidik dan menunjukkan mereka jalan kebenaran. Mereka yakin hanya dengan mentaati Nabi atau Rasulullah s.a.w dalam semua aspek akan berjaya di dunia dan di akhirat. Antara kisah nabi yang terdapat di dalam al-Quran yang disebut dengan janggut ialah kisah Nabi Harun sebagaimana firman Allah:

"Harun menjawab : Hai putera ibuku, janganlah kamu pegang janggutku dan jangan pula kepalaku". TAHA, 20:94.

Para Isteri Nabi Muhammad s.a.w juga suka melihat Nabi berjanggut sehingga ada yang meletakkan minyak wangi di janggut dan jambang Nabi. Sebagaimana hadith sahih di bawah ini:

"Dari Aisyah Ummul Mukminin berkata : Aku mewangikan Nabi s.a.w dengan sebaik-baik wangi-wangian pada rambut dan janggutnya". Muttafiq alaihi.

"Berkata Anas bin Malik : Janggut Nabi s.a.w didapati lebat dari sini ke sini, maka diletakkan kedua tangannya di pipinya". H/R Ibn Asyakir (dalam Tarikhnya).

Di dalam kitab (��� ������) Jld. 10, M/s. 335, terdapat teks yang ditulis:

"Memelihara janggut adalah kesan peninggalan yang diwariskan oleh (Nabi) Ibrahim alaihissalam wa ala nabiyina as salatu wassalam sebagaimana dia mewariskan (wajibnya) janggut maka begitu juga (wajibnya) berkhatan".

"Dari Jabir berkata : Sesungguhnya Rasulullah lebat janggutnya". H/R Muslim.

"Dari Muamar berkata : Kami bertanya kepada Khabbab, adakah Rasulullah s.a.w membaca (al-Quran) di waktu Zuhur dan Asar? Beliau berkata : Ya! Kami bertanya, dari mana engkau tahu? Beliau menjawab : Dengan bergerak-geraknya janggut baginda". H/R al Bukhari.

"Dari Jabir berkata : Kebiasaannya Rasulullah s.a.w apabila bersikat dimulakan pada rambutnya kemudian pada janggutnya". H/R Muslim.

"Dari Umar berkata : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w lebat janggutnya, di riwayat yang lain tebal janggutnya dan di lain riwayat pula subur janggutnya".

H/R at Turmizi.

"Dari Anas bin Malik berkata : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w apabila berwuduk meletakkan tapak tangannya yang berair ke bawah dagunya dan diratakan (air) di janggutnya. Beliau bersabda : Beginilah aku disuruh oleh Tuhanku". H/R Abu Daud.

"Terdapat pada janggut (Nabi s.a.w) janggut yang putih". H/R Muslim.

"Tidak kelihatan uban di janggutnya kecuali sedikit". H/R Muslim.

"Rambut yang putih (uban) di kepala dan di janggut (Nabi Muhammad s.a.w) tidak melebihi dua puluh helai". H/R al-Bukhari.

Semua Para Sahabat r.a Berjanggut

Melalui keterangan yang diperolehi dari hadith sahih, athar dan sirah (sejarah para sahabat) terbukti tidak seorangpun dari kalangan para sahabat yang mencukur janggut mereka dan tidak seorangpun yang menghalalkan perbuatan mencukur janggut. Ini terbukti kerana didapati keseluruhan para sahabat berjanggut. Sebagaimana keterangan dari hadith-hadith di bawah ini:

"Didapati Abu Bakar lebat janggutnya, Uthman jarang (tidak lebat) janggutnya tetapi panjang, dan Ali tebal janggutnya". H/R Turmizi.

"Berkata al-Bukhari : Ibn Umar menipiskan misainya sehingga kelihatan kulitnya yang putih dan memelihara janggut dan jambangnya". Lihat: Fathulbari, jild 10, m/s 334.

"Semasa Ibn Umar mengerjakan haji atau umrah, beliau menggenggam janggutnya, mana yang lebih (dari genggamannya) dipotong". H/R al-Bukhari.

Hadith-hadith di atas bukan sahaja menjelaskan suatu contoh perbuatan Nabi Muhammad, para nabi sebelum baginda dan juga para sahabat yang semua mereka memelihara janggut. Malah hadith-hadith di atas juga merupakan lanjutan yang berupa suruhan dari nabi-nabi dan rasul-rasul sebelum Nabi Muhammad s.a.w.

Nabi Muhammad s.a.w meneruskan suruhan (lanjutan) tersebut ke atas orang-orang yang beriman supaya memelihara janggut mereka. Anehnya, dalam hal suruhan yang nyata ini dirasakan sukar difahami oleh segolongan para mufti, kadi, imam, ustaz dan alim ulama yang bertibaran di negara ini. Apakah mereka tidak pernah terjumpa (terbaca) walaupun sepotong dari beberapa hadith-hadith sahih sebagaimana yang tercatit di atas yang mewajibkan memelihara janggut sehingga mereka tidak sudi memeliharanya? Jika sekiranya mereka telah terbaca salah satu dari hadith-hadith tersebut mengapa pula tidak mahu menerima dan mentaatinya? Apakah mereka merupakan ulama buta, tuli, pekak dan bisu sehingga tidak dapat melihat, memahami, mengetahui dan menyampaikan sebegitu banyaknya hadith-hadith sahih yang memperkatakan tentang janggut? Mengapa pula suruhan dan larangan syara sebagaimana yang terdapat di dalam firman Allah di bawah ini tidak mereka sedari?:

"Dan apa yang disampaikan oleh Rasul maka hendaklah kamu ambil (patuhi) dan apa yang ditegah kamu (dari melakukannya) maka hendaklah kamu tinggalkan". AL HASYAR, 59:7.

Ayat di atas memberi penekanan agar setiap orang-orang yang beriman bersikap patuh (taat), sama ada patuh dengan cara melaksanakan segala apa yang disuruh oleh Allah dan RasulNya atau patuh dengan cara meninggalkan segala apa yang telah dilarang atau diharamkan.

Orang-orang yang beriman tidak boleh mencontohi sikap Iblis yang enggan mematuhi suruhan Allah s.w.t apabila diarah supaya sujud kepada Nabi Adam a.s. Iblis dilaknat kerana mengingkari satu suruhan Allah. Keengganan mematuhi suruhan Rasulullah s.a.w samalah seperti mengingkari suruhan Allah kerana mentaati Rasulullah adalah asas mentaati Allah, maka mereka yang tidak mahu mematuhi arau mentaati suruhan Rasulullah s.aw yang diulang berkali-kali supaya memelihara janggut dan jambang dengan alasan berjanggut itu tidak kacak, selekeh, kelihatan comot dan sebagainya. Maka keingkaran dan alasan seperti ini ditakuti menyerupai alasan Iblis dan petanda yang mereka telah mewarisi sikap Iblis yang bongkak, biadab, bangga diri dan akhirnya ia dikekalkan di nereka hanya lantaran tidak mahu mematuhi satu-satunya suruhan Allah s.w.t iaitu sujud kepada bapa sekalian manusia..

Mentaati Allah dan Rasulnya dalam setiap aspek adalah bukti kukuh yang menandakan seseorang itu benar-benar mencintai Allah s.w.t dan RasulNya, kerana syarat untuk mencintai Allah dan RasulNya ialah ketaatan. Sebagaimana firman Allah:

"Katakanlah jika kamu (benar-benar)mencintai Allah, ikutlah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu". ALI IMRAN, 3:31.

Cinta perlukan pembuktian walaupun dalam hal atau perkara yang kecil dan dianggap remeh. Sikap orang-orang yang beriman apabila mengetahui bahawa Allah dan RasulNya telah menetapkan sesuatu hukum dan menyeru mereka supaya mematuhinya, maka oleh kerana cinta mereka yang bersangatan terhadap Allah dan Rasulnya maka mereka akan mematuhinya tanpa banyak persoalan. Kepatuhan mereka adalah benar-benar didorong oleh rasa cinta kepada Allah dan RasulNya sebagaimana firman Allah:

"Sesungguhnya jawaban orang-orang yang beriman apabila mereka diseru kepada Allah dan RasulNya agar menghukum di antara mereka, ucapan mereka ialah : Kami mendengar dan kami patuh. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung".AN NUUR, 24:51.

SUNNAH2 RASULULLAH S.A.W (RASUL JUNJUNGAN YANG MULIA)

SUNNAH RASULULLAH S.A.W (RASUL JUNJUNGAN YANG MULIA)

BERSUCI
Hadis Saidatina Aisyah r.a katanya:
Menjadi kebiasaan Rasulullah s.a.w menggunakan tangan kanan semasa bersuci, menyikat rambut dan memakai kasut
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 395

LARANGAN MENGGUNAKAN BEKAS MAKAN DAN MINUMAN DARI PERAK DAN EMAS
Hadis Al-Bara' bin Azib r.a katanya:
Rasulullah s.a.w memerintahkan kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara. Baginda memerintahkan kami menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah, mendoakan orang bersin, menunaikan sumpah dengan benar, menolong orang yang dizalimi, memenuhi undangan dan memberi salam. Baginda melarang kami memakai cincin atau bercincin emas, minum dengan bekas minuman dari perak, hamparan sutera, pakaian buatan Qasiyyi iaitu pakaian berjalur yang diperbuat dari sutera, serta mengenakan pakaian sutera, sutera tebal dan sutera halus
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3848

Hadis Huzaifah r.a:
Rasulullah s.a.w telah bersabda: Janganlah kamu sekalian minum dalam bekas minuman emas dan perak. Jangan memakai pakaian dari sutera kerana pakaian sutera itu untuk mereka iaitu orang-orang kafir di dunia dan untuk kamu sekalian di akhirat pada Hari Kiamat kelak
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3849

MEMAKAI SELIPAR
Hadis Abu Hurairah r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang di antara kamu memakai selipar, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kanan dan apabila ingin mencabutnya, maka hendaklah mendahuluinya dengan yang sebelah kiri. Seboleh-bolehnya pakailah kedua-dua selipar itu sekaligus atau mencabut kedua-duanya sekaligus
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3913

PAKAIAN
Hadis Anas bin Malik r.a:
Nabi s.a.w melarang memakai pakaian berwarna kunyit
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3922
Hadis Al-Bara' r.a katanya:
Rasulullah s.a.w adalah seorang lelaki yang berbadan segak, berbahu lebar dan berambut panjang sehingga terjuntai ke cuping telinga. Baginda memakai pakaian yang berwarna merah. Aku tidak pernah melihat sesuatu yang indah, seindah Nabi Muhammad S.A.W
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4308

FITRAH SEMULAJADI MANUSIA
Hadis Abu Hurairah r.a:
Diriwayatkan daripada Nabi Muhammad S.A.W, baginda bersabda: Fitrah ada lima atau mungkin juga diriwayatkan Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai sifat semula jadi seseorang manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan, memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 377

MENYAMBUT HARI PERAYAAN
Hadis Aisyah r.a katanya:
Aku telah diziarahi oleh Abu Bakar r.a di rumahku. Ketika itu di sampingku ada dua orang jariah iaitu gadis dari golongan Ansar, sedang mendendangkan syair golongan Ansar pada Hari Bu'as iaitu hari tercetusnya peperangan antara golongan Aus dan Khazraj. Aisyah berkata: Sebenarnya mereka berdua bukanlah penyanyi. Abu Bakar r.a berkata: Patutkah ada nyanyian syaitan di rumah Rasulullah s.a.w dan pada Hari Raya pula? Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: Wahai Abu Bakar! Sesungguhnya setiap kaum itu mempunyai Hari Raya dan ini adalah Hari Raya kami
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1479

LARANGAN MEMAKAI CINCIN EMAS BAGI LELAKI
Hadis Abu Hurairah r.a:
Daripada Nabi s.a.w bahawa baginda melarang memakai cincin emas
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3896
CINCIN PERAK
Hadis Anas bin Malik r.a:
Sesungguhnya Nabi s.a.w memakai cincin perak. Pada cincin itu terpahat nama Muhammad Rasulullah Baginda bersabda kepada kaum Muslimin: Aku membuat cincin dari perak dan padanya aku ukirkan Muhammad Rasulullah Maka tidak ada seorang pun dapat mengukir pada ukirannya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3901

LARANGAN MENGGANTUNG GAMBAR-GAMBAR
Hadis Ibnu Abbas r.a:
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing atau gambar-gambar
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3929

Hadis Aisyah r.a katanya:
Kami mempunyai kain langsir yang bergambar burung. Orang yang hendak masuk, tentu akan melihat kain langsir yang bergambar tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Gantilah kain langsir ini, kerana setiap kali aku masuk dan melihatnya aku menjadi ingat kepada dunia. Aisyah berkata: Kami mempunyai benang yang boleh kami katakan sutera, maka kami memakainya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3934

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Manusia yang paling berat seksanya pada Hari Kiamat, ialah para juru gambar
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3943

Hadis Ibnu Abbas r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Setiap tukang gambar akan di masukkan ke dalam Neraka. Allah akan menjadikan baginya dengan setiap gambar yang dibuatnya nafas yang menyeksanya di Neraka Jahanam
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3945

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t berfirman: Siapa lagi orang yang lebih zalim daripada orang yang cuba membuat ciptaan sama seperti makhluk-Ku? Maka lebih baik mereka cuba menciptakan zarah, menciptakan biji-bijian, atau mencipta biji gandum
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3947

MENYAMBUNG RAMBUT
Hadis Asma' binti Abu Bakar r.a katanya:
Seorang wanita datang kepada Nabi s.a.w lalu berkata: Wahai Rasulullah! Aku mempunyai seorang anak perempuan yang bakal menjadi pengantin. Beliau pernah diserang penyakit campak, sehingga rambutnya gugur. Bolehkah aku menyambungnya dengan rambut orang lain? Rasulullah s.a.w bersabda: Allah mengutuk orang yang menyambungkan rambutnya dengan rambut orang lain dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3961

Hadis Aisyah r.a:
Seorang gadis dari kaum Ansar berkahwin. Oleh kerana sebelumnya beliau pernah menderita sakit, maka semua rambutnya gugur. Keluarganya ingin menyambung rambutnya, lalu mereka bertanya kepada Rasulullah s.a.w tentang hal itu. Maka Rasulullah s.a.w mengutuk orang yang menyambung rambut dan orang yang meminta supaya disambungkan rambutnya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3963


LARANGAN KEPADA PONDAN
Hadis Ummu Salamah r.a:
Sesungguhnya seorang lelaki pondan yang berperilaku seperti wanita berada di rumah beliau, ketika itu Rasulullah s.a.w juga berada di rumah tersebut. Lelaki itu berkata kepada saudara Ummu Salamah: Wahai Abdullah bin Abu Umaiyah! Jika Allah menolong kamu menakluki Taif besok, maka akan aku tunjukkan kepadamu anak perempuan Ghailan, nescaya beliau menghadap dengan empat lipatan perut dan kembali dengan lapan lipatan perut kerana sangat gemuk. Jadi, ketika Rasulullah s.a.w mendengar pembicaraan itu, baginda bersabda: Janganlah mereka itu masuk ke tempat kamu!
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4048

BAB SIFAT RAMBUT NABI MUHAMMAD S.A.W
Hadis Anas bin Malik r.a:
Diriwayatkan daripada Qatadah r.a katanya: Aku pernah bertanya kepada Anas bin Malik, bagaimanakah keadaan rambut Rasulullah s.a.w. Anas bin Malik menjawab: Rambutnya ikal, tidak keriting dan tidak lurus, kemudian terurai sehingga sampai ke bahu baginda
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4311

BAB GALAKAN MENDEKATI ORANG ORANG YANG SOLEH DAN MENJAUHI DARI KAWAN KAWAN YANG JAHAT
Hadis Abu Musa r.a:
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Sesungguhnya perumpamaan berkawan dengan orang yang soleh dan berkawan dengan orang yang jahat adalah seperti seseorang yang membawa minyak wangi dan seseorang yang meniup dapur tukang besi. Orang yang membawa minyak wangi, mungkin beliau akan memberikannya kepadamu atau mungkin kamu akan membeli darinya dan mungkin kamu akan mendapat bau yang harum darinya. Manakala orang yang meniup dapur tukang besi, mungkin beliau akan membakar pakaianmu dan mungkin kamu akan mendapat bau yang tidak elok
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 4762

AMALAN PESANAN RASULULLAH S.A.W
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w telah berpesan kepada ku dengan tiga perkara, berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mendirikan sembahyang Dhuha dua rakaat dan mendirikan sembahyang sunat witir sebelum tidur
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 1182

LARANGAN MENGGANTUNG GAMBAR DIDALAM RUMAH
Hadis Ibnu Abbas r.a:
Daripada Nabi s.a.w baginda bersabda: Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat anjing atau gambar-gambar
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3929

Hadis Aisyah r.a katanya:
Kami mempunyai kain langsir yang bergambar burung. Orang yang hendak masuk, tentu akan melihat kain langsir yang bergambar tersebut. Lalu Rasulullah s.a.w bersabda kepadaku: Gantilah kain langsir ini, kerana setiap kali aku masuk dan melihatnya aku menjadi ingat kepada dunia. Aisyah berkata: Kami mempunyai benang yang boleh kami katakan sutera, maka kami memakainya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3934

Hadis Ibnu Umar r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Orang-orang yang membuat atau melukis gambar-gambar akan diseksa pada Hari Kiamat. Maka akan difirmankan kepada mereka: Hidupkan apa yang telah kamu ciptakan

LARANGAN MENCUKUR SEBAHAGIAN RAMBUT DIKEPALA DAN LARANGAN MERUBAH CIPTAAN ALLAH
Hadis Ibnu Umar r.a:
Rasulullah s.a.w melarang mencukur sebahagian rambut di kepala
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3959

Hadis Abdullah bin Mas'ud r.a katanya:
Allah mengutuk pembuat tatu iaitu tanda pada badan yang dibuat dengan melarik, mencucuk dan memasukkan warna, orang-orang yang meminta supaya dibuatkan tatu, orang-orang yang menghilangkan rambut pada muka serta orang-orang yang meminta supaya dihilangkan rambut pada wajahnya, serta orang-orang yang merenggangkan gigi demi kecantikan untuk mengubah ciptaan Allah. Perkataan Ibnu Umar itu sampai kepada seorang wanita dari Bani Asad yang bergelar Ummu Yaakub. Beliau sedang membaca Al-Quran. Lalu dia datang kepada Ibnu Umar dan berkata: Apakah benar berita yang sampai kepadaku bahawa engkau mengutuk pembuat tatu, orang-orang yang meminta supaya dibuatkan tatu, orang-orang yang meminta supaya dihilangkan rambut pada muka dan orang-orang yang merenggangkan gigi demi kecantikan untuk mengubah ciptaan Allah? Abdullah bin Umar berkata: Bagaimana aku tidak mengutuk orang-orang yang juga dikutuk oleh Rasulullah s.a.w? Sedangkan perkara itu ada disebutkan dalam Kitab Allah. Wanita itu membantah: Aku sudah membaca semua yang ada dari kulit ke kulit, tetapi aku tidak mendapatinya. Ibnu Umar berkata: Jika engkau benar-benar membacanya, pasti engkau akan menemuinya. Allah s.w.t berfirman: Yang bermaksud:”Apa yang diberikan oleh Rasul kepada kamu, maka terimalah ia dan apa yang dia larang kepada kamu, maka tinggalkanlah ia.”
Wanita itu berkata: Aku melihat sesuatu di antara yang engkau bicarakan ini pada isterimu sekarang. Ibnu Umar berkata: Pergilah melihatnya. Wanita itu pun masuk mendapatkan isteri Abdullah bin Umar. Namun beliau tidak melihat sesuatu pun. Maka beliau datang lagi kepada Ibnu Umar dan berkata: Aku tidak melihat sesuatu pun. Ibnu Umar berkata: Ingatlah, seandainya apa yang aku katakan ada pada isteriku nescaya aku tidak akan menggaulinya
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 3966

Nabi S.A.W suatu hari (hari Ghadir Khum) telah memanggil Saidina Ali krw dan memakaikannya serban yg mempunyai ekor diantara dua belikat, kemudian baginda bersabda:“Macam inilah kamu memakai serban, kerana serban itusebagai lambang (tanda/syiar) Islam dan serban juga yg membezakan diantara org Islam dgn org musyrik,”
[riwayat Imam Abu Naim]

Sebagai tambahan, menetapkan sesuatu amalan atau ibadat secara khusus pada malam Jumaat sahaja, adalah juga merupakan suatu larangan yang terang daripada nabi s.a.w. sebagai mana di dalam hadis baginda :

"Jangan kamu mengkhususkan malam Jumaat dengan Qiyam daripada malam-malam yang lain"
-Riwayat Imam Muslim.
"Jangan kamu semua mengagungkan aku, sebagaimana orang-orang Nasrani (Kristian) mengagung-agungkan anak Maryam (Isa a.s.). Sesungguhnya aku hamba Allah, maka katakanlah aku hamba Allah dan rasul-Nya"
-Riwayat Imam Bukhari dan Muslim.
Kita dilarang pula menyerupai orang-orang kafir :

"Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka (tergolong dengan mereka)"
-Riwayat Imam Bukhari
Benar sekali kata nabi s.a.w. di dalam hadis baginda :

"Demi Yang Memegang jiwa Muhammad di tangan-Nya, akan berpuak-puak umatku sebanyak 73 puak, satu puak akan masuk syurga dan 72 puak lainnya akan masuk neraka. Para sahabat bertanya : Siapakah mereka ya Rasulullah? Nabi menjawab : Al-Jamaah."
"Maka sampaikanlah berita gembira kepada hamba-hambaKu yang mendengar semua pendapat, kemudian mengikuti yang terbaik (dari kalangan pendapat tersebut). Mereka itulah orang-orang yang telah diberi Allah petunjuk dan mereka itulah orang-orang yang berakal."
-Surah Az-Zumar ayat 17 dan 18.

"Sesungguhnya aku adalah seorang manusia. Sekiranya sesuatu perkara itu berkenaan agamamu, maka kepadaku (kamu merujuk). Dan sekiranya ia adalah perkara keduniaanmu maka aku adalah seorang manusia, kamu lebih mengetahui tentang duniamu."
-Riwayat Imam Muslim.
"Sesungguhnya Allah menyekat (atau menahan) taubat pembuat setiap amalan bid’ah"
-Riwayat Imam at-Thabrani, al-Baihaqi, al-Harawi dan lain-lain

Begitu juga dengan hadis dari Aisyah r.a. :
"Sesiapa yang mendatangi orang yang membuat bid’ah dengan tujuan untuk menghormatinya maka sesungguhnya ia telah membantu untuk menghancurkan Islam"
-Riwayat Ibnu Waddhah dan lain-lain .
WALLAHU A”LAM

PESANAN TERAKHIR RASULULLAH S.A.W

Ketika Rasulullah SAW mengerjakan ibadah haji yang terakhir, maka pada 9 Zulhijjah tahun 10 hijarah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah SAW itu ialah:
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal saleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."

Khamis, 9 Oktober 2008

SIAPA ITU MENTERI BESAR KELANTAN


Perlantikan seorang yang berpendidikan agama sebagai Menteri Besar pada mulanya dianggap sebagai perkara biasa sahaja. Ini adalah kerana sebelum ini memang sudah ada beberapa orang Menteri Besar dipilih dari kalangan orang-orang yang memperolehi kelulusan tinggi dalam pelajaran agama.
Bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Tan Sri Hassan Yunus, ialah seorang yang berkelulusan Universiti Al-Azhar di Mesir, sebuah universiti yang banyak melahirkan tokoh-tokoh agama. Allahyarham Tan Sri Hassan juga pemah berkhidmat sebagai mufti kerajaan Johor sebelum bergiat cergas dalam UMNO.
Bekas Menteri Besar Terengganu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad. juga seorang lepasan Universiti Al-Azhar. Beliau pernah berkhidmat sebagai seorang guru kanan di Sekolah Menengah Agama Zainal Abidin, Kuala Terengganu sebelum bertanding untuk menjadi wakil rakyat kawasan parlimen Kemaman dalam pilihanraya umum 1964.
Sewaktu PAS menguasai kerajaan negeri Kelantan pada tahun 1959, Menteri Besarnya, Allahyarham Datuk Ishak Lotfi Omar, ialah seorang yang mendapat didikan agama di Tanah Suci Makkah dan beliau pernah bertugas sebagai seorang pegawai di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan sebelum bertanding untuk kawasan Dewan Undangan Negeri Ketereh dalam pilihanraya umum tahun 1959.
Bekas Menteri Besar Terengganu, Allahyarham Tan Sri Ibrahim Fikri Muhammad, dan bekas Menteri Besar Perak. Allahyarham Datuk Ahmad Said, juga mendapat pendidikan agama tempatan sebelum Perang Dunia Kedua.
Pendek kata, tokoh-tokoh yang mempunyai pengajian agama telah pun diberi amanat untuk memegang jawatan penting sebagai Menteri Besar atau Menteri kerajaan Pusat.
Berdasarkan kepada hakikat itulah, maka perlantikan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai Menteri Besar dalam kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah dianggap sebagai perkara biasa sahaja.
Masyarakat umum pada mulanya menjangka bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan mengikut jejak langkah para Menteri Besar lain setelah menduduki kerusi Menteri Besar ltu. Atau dengan lain perkataan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz juga mungkin akan mengubah corak atau gaya hidupnya setelah dilantik menjadi ketua kerajaan negeri supaya sesuai dan selaras dengan gaya hidup menteri-menteri lain sebagaimana lazimnya dilakukan oleh orang-orang yang mendapat jawatan dan pangkat tinggi dalam zaman moden ini.
Kalau seorang bekas mufti, atau bekas guru agama, atau juga bekas pegawai kanan di Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan telah mengubah corak hidup supaya menjadi ala-Barat serta selaras dan setaraf dengan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri atau Pusat, maka mengapa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz tidak berbuat demikian?
Apakah keistimewaan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dalam perkara ini?
“Kalau beliau seorang insan biasa, sudah tentu pula jauh sekali daripada seorang malaikat, sudah pasti lambat-laun beliau akan mengikuti jejak langkah Menteri-Menteri Besar sebelumnya.” ujar seorang wartawan yang belum mengenali peribadi Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz dengan lebih dekat.
Pada peringkat awal, ada kalangan yang dapat menerima pendapat dan teori seperti yang dikatakan wartawan itu, tetapi setelah lebih setahun beliau memegang jawatan Menteri Besar, orang ramai mula menyedari bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ini ialah seorang Menteri Besar yang luar biasa.
Apa yang jelas sekarang ialah beliau tidak begitu mudah dapat dipengaruhi oleh kelaziman-kelaziman dalam gaya hidup orang-orang yang telah mendapat kedudukan dan jawatan tinggi dalam kerajaan dan parti politik.
Dan setakat ini, beliau masih dapat mempertahankan corak hidupnya sebagal seorang tok guru dan pendakwah sepenuh masa tanpa terpedaya dengan kelaziman-kelaziman corak hidup yang diperlihatkan oleh pemimpin-pemimpin kerajaan yang lain.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bukan sahaja Menteri Besar yang luar biasa, malah beliau telah dikenali sebagai seorang wakil rakyat yang luar biasa juga.
Selama 41 tahun beliau menjadi anggota parlimen dan lima tahun sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri beliau masih tidak mempunyai rumah yang dilengkapi dengan perhiasan mewah hatta kerusi meja sekalipun, sebagaimana kebanyakan orang menganggap peralatan ini harus ada pada seseorang pemimpin parti atau wakil rakyat apatah lagi menteri.
Ketika saya dan rakan-rakan lain dari Kuala Lumpur dan Kuala Terengganu dijemput menikmati sarapan pagi di kediamannya di Pulau Melaka pada 30 Disember 1990, saya tidak nampak di ruang tamu itu kerusi meja, walaupun sebuah.
Kami menikmati sarapan pagi dengan duduk bersila di lantai lapang yang bertikar; jauh sekali bezanya daripada keadaan duduk di kerusi empuk dengan dikelilingi perhiasan-perhiasan mewah di rumah Menteri-Menteri atau wakil-wakil rakyat yang pemah kami kunjungi.
Walau bagaimanapun, kami berasa lebih mesra dan selesa berada di tengah-tengah kesederhanaan hidup seorang Menteri Besar dan pemimpin Islam ini.
Sebelum kunjungan ini, rakyat Malaysia telah dikejutkan dengan satu kenyataan akhbar yang menyebut bahawa Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Haj i Nik Abdul Aziz, tidak akan berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kampung Sirih, Kota Baharu.
Kenyataan akhbar itu juga menjelaskan bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan tetap tinggal di rumahnya yang asal di belakang masjid Pulau Melaka yang dibina oleh almarhum ayahnya, Tuan Guru haji Nik Mat bin Raja Banjar atau lebih terkenali dengan panggilan Haji Nik Mat Alim.
Dengan kenyataan itu, jelaslah bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz lebih mengutamakan hidup di sebuah rumah serba sederhana yang berhampiran dengan sebuah masjid daripada menikmati hidup di ‘istana’ yang dilengkapi dengan alat perhiasan serba mewah seperti di JKR 10 itu.
Beliau hanya datang sekali-sekala sahaja ke JKR 10 untuk menemui tetamu dari dalam dan luar negeri. Dan kediaman rasmi Menteri Besar itu sekarang ini dijadikan tempat tetamu-tetamu kerajaan. Belum ada dalam sejarah tanahair seorang Menteri Besar enggan berpindah ke kediaman yang lebih mewah dan serta indah selain daripada Menteri Besar Kelantan sekarang.
Dan dalam sejarah tanahair, tidak ada rumah seorang wakil rakyat yang tidak dilengkapkan dengan kerusi meja dan kemudahan mewah dan mahal selain daripada rumah bekas Ahli Parlimen Pengkalan Chepa dan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Chempaka. Sedangkan beliau sudah menjadi wakil rakyat selama 41 tahun.
Inilah yang dikatakan bahawa Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ini bukan sahaja sebagal Menteri Besar yang luar biasa, malah beliau juga seorang wakil rakyat yang tidak ada bandingannya di tanahair kita.
Sebagai seorang Menteri Besar yang mewakili parti Islam, beliau cuba mengamalkan kehidupan dan tugas harian mengikut ajaran Islam yang memang menjadi prinsip dan pegangannya.
Beliau juga berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapinya mengikut cara Islam, tidak seperti Menteri Besar yang lain yang menghadapi tugas dan masalah mereka dengan lebih merujuk kepada sistem ciptaan penjajah atau sistem yang tidak bersangkut paut atau mungkin juga bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan sunnah Rasulullah S.A.W.
Menteri-Menteri Besar lain daripada UMNO, walaupun berkelulusan dari Universiti Al-Azhar, diketahui tidak pernah berusaha ke arah mendekatkan pegawai-pegawai kerajaan kepada menghayati Islam dalam erti kata yang sebenarnya.
Dalam hal ini Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah memperlihatkan kejayaan awal membentuk peribadi Islam di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan. Misalnya, di pejabat Menteri Besar, apabila masuk waktu Zohor, beliau mengajak kakitangan kerajaan, termasuk anggota tentera dan polls, serta para tetamu beragama Islam bersembahyang jamaah bersama-samanya.
Selepas menunaikan fardhu Zohor, beliau mengambil masa 10 minit untuk memberi “kuliah senafas” kepada para kakitangan dan tetamu itu.
Inilah cara hidup dan amalan seorang Menteri Besar yang bertaraf ulama dan Tok Guru ketika memegang jawatan sebagai ketua kerajaan Negeri Kelantan.
Sebelum Kerajaan Pas berkuasa di Kelantan, kita hanya dapat melihat papan-papan tanda yang menunjuk dan mengingatkan kita ada sekolah atau hospital kira-kira 500 meter di hadapan. Tetapi kini, kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah Kelantan pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah memasang pula papan-papan tanda yang menunjukkan serta memberi ingatan kepada kita bahawa kira-kira 500 meter di hadapan ada masjid.
Tercacaknya papan-papan tanda yang menunjukkan adanya masjid itu, telah memberi kesan positif kepada seseorang Islam yang menggunakan jalan raya berkenaan.
Mengingatkan orang Islam tentang adanya masjid adalah sama dengan mengingatkan kaum Muslimin dan Muslimat supaya menunaikan solat lima waktu, kerana masjid dan sembahyang tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.
Dalam memimpin kerajaan Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menyelaraskan kepimpinannya itu sebagai usaha membentuk fikiran rakyat supaya berfikir dan bertindak mengikut cara Islam.
Sebagai contohnya, kerajaan negeri telah meletakkan papan-papan tanda di simpang-simpang jalan di dalam Bandar Kota Bharu untuk memberi panduan kepada orang ramai bagaimana cara untuk memotong kenderaan di jalanraya mengikut ajaran Islam.
Apa yang jelas sekarang ialah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menghendaki supaya rakyat Kelantan beramal mengikut ajaran Islam daripada sekecil-kecil amalan seperti memotong kenderaan dijalan raya sehinggalah kepada perkara-perkara besar seperti mentadbir negara dan sebagainya.
Kalau dikaji sejarah beliau menyertai PAS, maka jelaslah bahawa tujuan utama Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menyertal PAS adalah untuk berdakwah dan menyampaikan ajaran Islam yang hakiki kepada ummah seluruhnya.
Tugas Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz menjadi lebih erat lagi apabila beliau dilantik untuk memimpin kerajaan Negeri Kelantan yang majoriti rakyatnya menghendaki supaya Islam dijadikan dasar dan amalan pemerintahan negeri.
Beliau telah menggunakan kuasa sebagai Menteri Besar untuk membuat beberapa perubahan ke arah menjadikan Negeri Kelantan sebagat sebuah negeri contoh atau model Negeri Islam di negara Malaysia ini bahkan di seluruh dunia.
Dengan kerjasama parti-parti komponen Angkatan Perpaduan Ummah, beliau dijangka tidak akan menghadapi apa-apa masalah untuk melaksanakan hasrat dan cita-cita rakyat Kelantan itu.
Apa yang paling menarik sekali dalam usaha beliau membuat beberapa perubahan itu ialah sokongan yang didapati oleh beliau daripada masyarakat bukan Islam tempatan.
Terdapat pemimpin masyarakat Cina dari parti MCA di Kelantan yang sanggup menghadapi tindakan disiplin daripada parti itu kerana memberi sokongan kepada kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz. Malah , jika kita pergi ke majlis ceramah-ceramah yang dibuat oleh Pas pada hari ini , ternyata bukan hanya orang islam yang hadir tapi kita dapat merasa perubahan apabila ceramah-ceramah pas turut dihadiri oleh kaum bukan islam. Kepimpinan Pas menunjukkan Islam Boleh !!!!
Sokongan masyarakat bukan Islam terhadap pimpinan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz itu sekaligus menolak dakwaan sesetengah golongan yang mengatakan bahawa pelabur asing takut hendak menanam modal di Kelantan kerana Menteri Besarnya memakai jubah dan serban serta menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan.Pelabur-pelabur luar Negeri menyedari dan yakin tentang kestabilan politik yang berterusan di negeri Kelantan walaupun seorang ulama Islam yang tegas hendak melaksanakan Islam mengetuai kerajaan, dan besar kemungkinan lebih banyak lagi pemodal asing akan menanam modal di negeri itu.
Dalam sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 3 Ogos 1991, Dewan telah diberitahu bahawa kira-kira 200 juta ringgit modal asing telah dilaburkan di Kelantan sejak Angkatan Perpaduan Unnnah mengambil alih pentadbiran negerl. Keyakinan pemodal asing dan sokongan masyarakat bukan Islam terhadap kerajaan Negeri itu adalah kerana ketokohan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sebagai seorang Menteri Besar yang mampu untuk menghadapi segala cabaran.
Setakat ini, musuh-musuh politik Parti Islam didapati gagal untuk menghalang masyarakat bukan Islam daripada menyokong kerajaan negeri Kelantan dan gagal untuk menakut-nakutkan pemodal asing melabur di negeri Kelantan yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz.
Setelah kita mengkaji dan meneliti segala tindak-tanduk dan amalan Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz sejak beliau memegang jawatan selama setahun setengah, maka jelaslah bahawa ada banyak perbezaan antara beliau dengan Menteri-Menteri Besar lain yang berkelulusan agama, khususnya dari Universiti Al-Azhar.
Berbanding dengan apa yang dilakukan oleh Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ketika menjadi Menteri Besar, Allahyarham Tan Hassan Yunus, Johor dan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad, Bekas MB Terengganu tidak mampu dan tidak sanggup memberi kuliah subuh dan menjalankan kerja-kerja dakwah apabila mereka menjadi Menteri Besar.
Tidak ada seorang Menteri Besar sebelum ini yang sanggup tinggal di sebuah rumah yang tidak mempunyai alat-alat perhiasan dan kerusi meja yang indah tetapi Menteri Besar Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz rela tinggal di rumah yang tidak mempunyai alat-alat itu selain dua buah almari yang penuh dengan kitab-kitab agama.
Malah ada antara Menteri Besar yang baru sahaja memegang jawatan tidak sabar-sabar lagi berpindah ke kediaman Menteri Besar yang serba indah dan mula membina rumah sendiri dengan harga yang mahal.
Menteri Besar Kelantan sekarang mempunyai sikap yang amat berbeza daripada Menteri-Menteri Besar tersebut.
Rumah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz di Pulau Melaka masih sederhana. Rumah kampung daripada kayu ini terselindung di belakang masjid. Semua ini sebagai membuktikan bahawa beliau tidak terpedaya dengan darjat dan kebendaan.
Sebelum ini belum ada seorang Menteri Besar dari kalangan lulusan tinggi agama yang dapat mengekalkan identiti sebagai seorang ulama dan pendakwah selain daripada Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.
Kita telah dapat melihat beberapa orang yang sebelum menjadi Menteri Besar tidak pernah memakai pakaian barat, tetapi setelah memegang jawatan Menteri Besar, mereka kelihatan seolah-olah lebih barat daripada mereka yang mendapat didikan sekular.
Ini adalah kerana mereka terpengaruh dengan kedudukan dan jawatan yang mereka pegang. Tetapi setakat ini, Alhamdulillah, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz masih kekal sebagai Haji Nik Abdul Aziz yang lama, dan beliau tidak terpengaruh dengan kelaziman corak hidup Menteri-Menteri Besar yang lain.
Para pemerhati politik tanahair mula menyedari bahawa Menteri Besar Kelantan yang bernama Haji Nik Abdul Aziz ini bukanlah sembarangan Menteri Besar, tidak serupa dengan Menteri-Menteri Besar yang berkuasa sebelum ini, bukan sahaja di Kelantan bahkan di negeri-negeri lain.
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz ialah seorang Menteri Besar yang luar biasa, dan beliau juga seorang ulama dan Tok Guru yang unik apabila dibandingkan dengan ulama-ulama dan tok guru-tok guru lain yang ada sekarang.

Hadis Nabi S.A.W

YA ALLAH RAHMATI KAMI DENGAN AL-QURAN